JENIS-JENIS ZAKAT


1. ZAKAT WANG SIMPANAN

Kebanyakan urusniaga yang dijalankan pada hari ini adalah melibatkan matawang sebagai alat pertukaran. Setiap negara mempunyai nilai matawangnya sendiri dan penentuan nisab zakat matawang adalah bergantung kepada harga nisab emas iaitu 85 gram emas.

Dalil Wajib Zakat Wang Simpanan

Saidina Ali telah meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W telah bersabda: "Apabila kamu mempunyai 200 dirham dan telah cukup haul (genap setahun) diwajibkan zakatnya 5 dirham. Dan tidak diwajibkan mengeluarkan zakat (emas) kecuali kamu mempunyai 20 dinar (salah satu matawang zaman dahulu yang digunakan di negeri Arab). Apabila kamu mempunyai 20 dinar dan telah cukup haulnya diwajibkan zakatnya setengah dinar. Demikian juga kadarnya jika nilainya bertambah, dan tidak diwajibkan zakat dalam sesuatu harta kecuali genap setahun."

(Hadis Riwayat Abu Daud)


Syarat Wajib Zakat Wang Simpanan

  • Islam
  • Sempurna Milik
  • Cukup Nisab
  • Merdeka
  • Cukup Haul


2. ZAKAT ATAS WANG SIMPANAN DI KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja)

KWSP adalah caruman wang pekerja dan majikan ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.KWSP tidak dikenakan zakat kerana tidak cukup syarat wajib zakat iaitu milik sempurna. Ia hanya dikenakan zakat apabila pencarumnya mengeluarkan wang tersebut dari tabung KWSP.


Dalil Dan Syarat Wajib Zakat Atas Wang Simpanan Di KWSP

Dalil-dalil dan syarat-syarat wajib mengeluarkan zakat ke atas simpanan wang KWSP adalah sama seperti yang dikenakan ke atas zakat wang simpanan



3. ZAKAT EMAS DAN PERAK

Sejarah awal membuktikan emas dan perak sebagai logam yang sangat berguna berdasarkan penggunaannya sebagai matawang serta sebagai nilai harga barangan. Justeru itu, syara' telah pun menganggap kedua-duanya sebagai kekayaan yang menyuburkan dan telah disyaratkan sebagai wajib zakat sama ada dalam bentuk mangkuk barangan seni, patung dan sebagainya.

Dalil Wajib Mengeluarkan Zakat Emas Dan Perak

Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

"Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak dibelanjakan pada jalan Allah (tidak mengeluarkan Zakat), maka khabarkan kepada mereka dengan balasan azab seksa yang tidak terperi sakitnya (iaitu) pada hari dibakar emas dan perak (dan harta benda itu dalam neraka jahanam lalu diselar dengannya dahi, rusuk serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka), inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu, oleh itu rasakan (azab dari) apa yang kamu simpan itu."

(Surah At-Taubah : 34-35)

Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

"Setiap pemilik emas dan perak yang tidak menunaikan haknya maka pada hari Kiamat dijadikan kepingan lalu dibakar dalam api neraka kemudian diselar rusuk dan belakang mereka, setiap kali kepingan itu menjadi sejuk ia kembali dibakar semula pada hari yang kadarnya bersamaan dengan lima puluh ribu (50,000) tahun dihukum di antara hamba-hamba Allah maka dilihat jalannya sama ada ke syurga atau neraka."

(Hadis Riwayat Abu hurairah)


Syarat Wajib Zakat Emas Dan Perak

  • Islam
  • Merdeka
  • Sempurna Milik
  • Cukup Haul
  • Cukup Nisab

(Nisab emas ialah 20 misqal atau 85 gram emas. Nisab perak ialah 200 dirham atau 595 gram perak)

 

4. ZAKAT PENDAPATAN

Zakat pendapatan gaji telah dilaksanakan sebagai suatu yang penting pada zaman Muawiyah dan Umar bin Abdul Aziz. Ia telah dikenali dengan nama Al-Ata dan di zaman moden ini dikenali sebagai Kasbul Amal. Tetapi akibat penjajahan dan pengaruh kuasa Barat, sistem percukaian moden telah mengenepikan sistem zakat ke atas gaji. Negeri Kelantan telah mewartakan fatwa bahawa zakat pendapatan atau zakat gaji adalah diwajibkan zakat pada 16hb. Mac 1999.


Dalil Wajib Zakat Pendapatan

Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman! Berzakatlah sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu."

(Surah Al-Baqarah : 267)

Di dalam ayat di atas, Allah menjelaskan segala hasil usaha yang baik-baik wajib dizakatkan, dan bagi mereka yang menjadikan makan gaji itu sebagai satu profesion maka ianya juga termasuk sebagai hasil usaha. Begitu juga Imam Ar-Razi menegaskan dalam konsep menyeluruhnya yang dihasilkan oleh kegiatan manusia.


Syarat-Syarat Wajib Zakat Pendapatan

1. Islam

2. Merdeka

3. Sempurna Milik

4. Hasil usaha yang baik sebagai sumber zakat

(Hasil usaha tersebut termasuklah pendapatan dan elaun tetap (tidak berubah).

5. Cukup Nisab

Nisab bagi zakat pendapatan adalah berasaskan kepada nilai 85 gram emas harga semasa, memandangkan pendapatan biasanya diterima dalam bentuk matawang yang kadar nisabnya disandarkan kepada kadar nisab emas.

6. Cukup Haul

Mengikut kaedah umum pengiraan harta-harta zakat maka dalam konteks zakat pendapatan, jangkamasa setahun adalah merupakan jarak masa bagi mempersatukan hasil-hasil pendapatan untuk pengiraan zakat pendapatannya. Dalam hal ini, apa yang lebih penting seharusnya zakat pendapatan ini dilihat dari segi persoalan harta perolehan atau penghasilan dan bukannya persoalan harta wang simpanan. Ini bersesuaian dengan tuntutan dan roh Islam terhadap kewajipan berzakat.

 

5. ZAKAT PERNIAGAAN

Perniagaan adalah satu hasil usaha yang dikenakan zakat apabila telah cukup syarat-syarat:


Dalil Wajib Zakat Perniagaan

Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

"Laki-laki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak pula oleh jual beli dari menyebut tentang mengingati Allah dan mendirikan solat serta membayar zakat; mereka takutkan kepada suatu hari yang hati penglihatan menjadi goncang (berbalik-balik). (Mereka mengerjakan semua itu) supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan dari apa yang mereka kerjakan dan supaya Allah menambahkan kurniaNya kepada mereka. Dan Allah memberi rezeki kepada siapa yang dikehendakiNya tanpa batas."

(Surah An-Nur:37-38)


Syarat-Syarat Wajib Zakat Perniagaan

1. Islam

Zakat perniagaan hanya dikenakan ke atas orang yang Islam. Bagi perniagaan yang terdapat orang Islam dan bukan Islam, hanya sebahagian atau kepentingan orang Islam sahaja dikenakan zakat.

2. Sempurna milik

Bermaksud bahawa saham syarikat atau modal perkongsian tersebut adalah milikan pemilik yang telah ditolak hutang membeli saham itu.

3. Niat untuk berniaga

Pemilik perniagaan tersebut mempunyai niat untuk berniaga iaitu untuk mendapatkan keuntungan.

4. Cukup nisab

Jumlah aset yang menjadi asas pengiraan zakat mestilah menyamai atau melebihi paras nisab. Nisab zakat perniagaan ialah bersamaan dengan nilai 85 gram emas harga semasa.

5. Cukup haul

Tempoh perniagaan berlaku selama genap setahun.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Hits smaller text tool iconmedium text tool iconlarger text tool icon

HUBUNGI KAMI

 Majlis Agama Islam Dan
 Adat Istiadat Melayu Kelantan
 Kompleks Balai Islam
Lundang,15200 Kota Bharu, Kelantan
Talian Bebas Tol : 1-800-88-6060

No Telefon : 09-7481512
No Faks : 09-7485512
  maik@e-maik.my

webmaster@e-maik.my


JUMLAH PELAWAT

mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterHari ini :117
mod_vvisit_counterSemalam :129
Online : 2

WAKTU SOLAT

[ Tukar Kawasan ]
Tutup