faq lokasi aduan peta


PERKHIDMATAN

PENGURUSAN WAKAF

Image

KEKOSONGAN PREMIS WAKAF SEKITAR JAJAHAN KOTA BHARU

Image

DEFINISI WAKAF

BAHASA : Berhenti (وقف), Menahan (حبس), Menghalang (منع)

ISTILAH/SYARA' : Wakaf ialah apa-apa harta yang ditahan hak pewakaf ke atas harta tersebut daripada sebarang urusan jual beli, pewarisan, hibah dan wasiat di samping mengekalkan sumber fizikalnya, untuk kebajikan dengan niat untuk mendekatkan diri pewakaf kepada Allah S .W.T.

Wakaf am ertinya wakaf harta modal dan pendapatan yan kekal daripada mana-mana harta bagi maksud agama atau khairat yang diakui sah oleh Hukum Syarak dan termasuk juga harta harta yan diwakafkan itu sendiri.(Seksyen 2, Enakmen MAIK, Bil 4/1994)

Wakaf khas ertinya wakaf harta modal yang kekal daripada mana-mana harta bagi maksud agama atau khairat yang diakui oleh Hukum Syarak, termasuk harta-harta yang diwakafkan itu sendiri dan pendapatan daripada harta-harta itu itu diberi kepada orang–orang atau untuk tujuan yang ditetapkan dalam wakaf itu. (Seksyen 2, Enakmen MAIK, Bil 4/1994)

SEKSYEN 61 ENAKMEN MAIK 1994

Seksyen 61 Enakmen MAIK 1994 menyatakan bahawa:

“Walau apapun peruntukan yang berlawanan dengan mana-mana surat cara atau perisytiharaan, Majlis hendaklah menjadi pengawal tunggal kepada semua wakaf, sama ada wakaf am atau khas, semua nazar am dan semua amanah khairat untuk kepentingan Agama Islam dan orang-orang Islam, setakat mana harta itu terletak hak kepadanya atau yang terletak di dalam Negeri Kelantan”.

KATEGORI WAKAF

WAKAF AM : Wakaf yang manafaatnya umum, boleh digunakan untuk sebarang kegiatan keislaman

WAKAF KHAS : Wakaf yang manfaatnya dikhususkan kepada jihah/pihak tertentu seperti madrasah, musalla, rumah anak yatim, perkuburan dan lain-lain

WAKAF ZURRI : Wakaf yang memberi manfaat kepada keturunan wakif (kaum keluarga) sehinggalah anak cucu turun temurun.

RUKUN WAKAF













WAQIF : iaitu orang yang mewakafkan (pewakaf)

MAUKUF ALAIH : iaitu pihak yang menerima wakaf (penerima wakaf)

MAUKUF : iaitu harta/benda yang diwakafkan (harta yang diwakafkan)

SIGHAH : iaitu ijab dan qabul. Ia boleh dilakukan samada secara lisan, tulisan ataupun syarat yang jelas mengenai wakaf (akad wakaf)

PREMIS WAKAF

  1. Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra (KIJP)
  2. Premis Kediaman Pintu Geng, Kota Bharu
  3. Sekolah Menengah Agama Tengku Amalin A'ishah Putri,Kota Bharu
  4. Bangunan Perniagaan Di Jalan Che Su, Kota Bharu
  5. Bangunan Bazar Wakaf Rakyat Kampung Geting, Tumpat
  6. Bangunan Perniagaan Wakaf, Wakaf Siku, Kota Bharu
  7. Bangunan Perniagaan Jalan Dato Lundang, Kota Bharu
  8. Bangunan Perniagaan Wakaf Zurri, jalan Kelochor, Kota Bharu

Allah s.w.t telah mensyariatkan wakaf, menganjur dan menjadikannya sebagai salah satu agenda untuk mendampingkan diri kepada-Nya dan memberikan pahala yang cukup besar bagi sesiapa yang menginfaqkan harta mereka ke jalan Allah sebagaimana firman Allah yang bermaksud;

“Bandingan (pahala) orang-orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah umpama sebiji benih yan tumbuh menerbitkan tujuh tangkai dan tiap-tiap tangkai itu pula terdapat seratus biji. Dan ingatlah Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (Kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui”.

- (Surah Al-Baqarah: 261)

Rasulullah s.a.w sendiri amat menggalakkan umatnya supaya memperbanyakkan sedekah jarah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a yang bermaksud :

“Apabila matinya seorang anak Adam itu maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu SEDEKAH JARIAH, ILMU YANG DIMANFAATKANNYA dan ANAK YANG SOLEH yang sentiasa mendoakan kepada kedua ibubapanya”

- (Hadis Riwayat Muslim)

Para Ulama menafsirkan Sabda Rasul “Sedekah Jariah” sebagai wakaf, bukan wasiat memanfaatkan harta.

Imam Syafie berkata:

“Aku mendapat tahu bahawa lapan puluh sahabat di kalangan Ansar telah melakukan sedekah Muhramat”.

Al- Syafie RA menggunakan istilah sedekah muhramat untuk wakaf.

Para Ahli Fiqh dan Ulama berpendapat amalan wakaf merupakan ibadah yang berbentuk sedekah jariah yang menjanjikan ganjaran pahala yang berkekalan dan mengalir terus kepada pewakaf hingga ke akhirat dan sangat dituntut dalam Agama Islam. Ia merupakan suatu amal soleh yang mana pahalanya akan diberikan secara berterusan oleh Allah Subhanahu Wa Taala kepada pewakaf selagi harta atau ain yang diwakafkan itu kekal dan dimanfaatkan. Kedudukan harta wakaf adalah kekal sebagai hak Allah Taala dengan demikian kedudukan harta wakaf tidak boleh dimiliki, dijual, dihibah (diberi), diwarisi atau dipusakai.

 

1) Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan Bilangan 3 Tahun 2018 yang bersidang pada 15 Zulhijjah 1439 Hijrah bersamaan 27 Ogos 2018 Masihi telah membincangkan berkaitan Fatwa Wakaf Tunai Sebagai Wakaf.

Setelah membincangkan perkara ini mesyuarat bersetuju memfatwakan seperti berikut:

  • Wang tunai adalah dibenarkan untuk tujuan wakaf dan wang tersebut juga dianggap sebagai harta wakaf.

  • Nilai asal wang diwakafkan hendaklah sentiasa dipelihara sifat kekalnya.

  • Jumlah asal wang tunai yang diwakafkan hendaklah digunakan dan dikendalikan dalam instrumen patuh syariah yang boleh memelihara jumlah asalnya. Sebagai contoh disalurkan dalam pelaburan berisiko rendah seperti sukuk dan produk deposit

  • Pelaburan wakaf tunai hendaklah dikendalikan dan digunakan dalam aktiviti patuh syariah.

  • Secara asasnya, perkembangan atau untung yang terhasil daripada wakaf tunai tidak dianggap sebagai harta wakaf. Namun pewakaf boleh menetapkan dari awal bahawa sebarang untung daripada wakaf tunai itu dikira sebagai sebahagian daripada wakaf. Jika ini disyaratkan, sebarang keuntungan daripada pelaburan wakaf hendaklah mematuhi syarat-syarat aset wakaf.

  • Hasil keuntungan wakaf tunai boleh digunakan untuk memberi sumbangan (derma) kepada penerima manfaat wakaf seperti pemberian biasiswa kepada pelajar dan bantuan kepada orang miskin.

  • Pewakaf boleh mensyaratkan kos pengurusan yang munasabah agar ditanggung sama ada oleh pewakaf, atau wang pokok wakaf ataupun daripada keuntungan wakaf tunai. Jika tiada sebarang syarat yang menentukan, kos pengurusan wakaf tunai akan diambil daripada hasil keuntungan atau perkembangan wakaf tunai tersebut.

2) Mesyuarat Jemaah Ulama MAIK BIL 1/2013 yang bersidang pada 9 Jun 2013 telah membincangkan berkenaan Wakaf Tunai. Mesyuarat telah memutuskan:

“Berwakaf dalam bentuk wang tunai adalah di bolehkan dalam Islam.Dalam menguruskan wakaf tunai ini, pentadbiran MAIK hendaklah memastikan bahawa wang tunai yang diwakafkan itu digunakan untuk pembelian aset kekal. Ini disebabkan wang tunai secara fizikalnya tidak boleh dikekalkan dalam bentuk yang asal tetapi pengekalan ini masih boleh direalisasikan dengan menukarnya kepada harta lain yang bersifat kekal. Dengan itu, ia menepati konsep wakaf iaitu menahan sesuatu harta yang boleh digunakan tanpa susut fizikalnya”.

3) Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang bersidang pada 30 April 2008 telah membincangkan hukum berkaitan pembangunan tanah wakaf di bawah Rancangan Malaysia Ke-Sembilan (RMK-9). Mesyuarat telah membuat keputusan bersetuju memfatwakan sebagaimana berikut:

“Pihak Majlis Agama Islam Kelantan harus dan boleh menerima peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan untuk membina hotal wakaf di Lot 2136 Mukim Kemumin, Panji dengan syarat status tanah wakaf ini kekal sebagaimana kehendak pewakaf”.

4) Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang bersidang pada 31 Julai 2005 telah membincangkan hukum wakaf bagi tanah “Hak Milik Terhad”.Mesyuarat telah membuat keputusan bersetuju memfatwakan sebagaimana berikut:

  • Tanah-tanah wakaf yang diletakkan di bawah keanaziran atau kawalan Majlis adalah diiktiraf sebagai wakaf muabbad (kekal) samada tanah-tanah tersebut bertaraf ‘Hak Milik Kekal’ atau ‘Hak Milik Terhad

  • Tanah-tanah wakaf yang bertaraf ‘Hak Milik Terhad’ adalah terkecuali dari Akta Kanun Tanah Negara Tahun 1965 kerana ianya melibatkan Hukum Syara’ dan telah diberi kekecualian dalam Seksyen 4(2) akta berkenaan: ‘Kekecualian setakat mana yang diperuntukkan dengan nyata sebaliknya, tiada apa juga dalam akta ini boleh menyentuh peruntukan-(e) mana-mana undang-undang yang pada masa itu berkuatkuasa mengenai wakaf atau baitulmal

  • Mesyuarat juga menasihatkan Majlis untuk membuat pindaan kepada Enakmen Majlis Bil 4, Tahun 1994 Seksyen 61 hingga 66 berkaitan wakaf agar selaras dengan Akta Kanun Tanah Negara yang memperuntukkan bahawa Kerajaan Negeri boleh memberi pemilikan tanah secara kekal jika pihak berkuasa negeri berpuas hati tanah itu digunakan untuk kepentingan awam seperti seksyen 76(a) Kanun Tanah Negara. Dengan itu semua tanah wakaf yang bertaraf ‘Hak Milik Terhad’ boleh bertukar menjadi ‘Hak Milik Kekal’ kerana wakaf itu sendiri adalah kepentingan awam.

5) Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang bersidang pada 4 Julai 2004 telah membincangkan fatwa berkenaan Pembangunan di Tanah –Tanah Wakaf di bawah kawalan Majlis Agama.Mesyuarat telah membuat keputusan bersetuju memfatwakan sebagaimana berikut:

  • Tanah-tanah wakaf khas di bawah kawalan Majlis Agama Islam Kelantan seperti tanah wakaf Al-marhum Tengku Kaya Pahlawan dan lain-lain, boleh dibangunkan dengan bangunan kerana tidak menghilangkan ain (harta benda) yang diwakaf. Walaubagaimanapun kehendak atau syarat pewakaf hendaklah dijaga dan dihormati kerana para fuqaha" menyebut syarat pewakaf adalah seumpama nas syara'

  • Usaha pembangunan yang dilaksanakan di tanah-tanah wakaf khas itu hendaklah tidak menyebabkan hilang sifatnya sebagai harta wakaf atau manfaatnya, bahkan menambahkan lagi manfaatnya hasil dari pembangunan yang diusaha di atas tanah tersebut.
  • Pembangunan boleh dilakukan secara usahasama oleh pihak-pihak yang terlibat iaitu pemaju projek pembangunan dan nazir tanah wakaf khas yang menjaga kepentigan pewakaf dan mauquf alaih dengan syarat projek usahasama ini akan berlaku adil kepada kedua-dua pihak.

  • Pihak yang membangun tanah tersebut tidak boleh diberi hak kekal ke atas bangunan. Mereka hanya berhak untuk mendapat pulangan balik modal pelaburan kerana pemberian milik akan menyebabkan hilang ain ke atas tanah wakaf dan bertentangan dengan hukum syara'.

  • Pulangan pelaburan kepada pemaju di atas projek pembangunan di tanah-tanah wakaf khas ini boleh dilakukan samada :

    • Pemaju mendapatkan dahulu pulangan balik pelaburan, setelah selesai mendapat pulangan balik pelaburan, bangunan tadi dijadikan sepenuhnya sebagai harta wakaf dan segala pendapatan diurus mengikut apa yang dikehendaki oleh pewakaf.

    • Pihak yang bertanggungjawab mengurus harta wakaf tersebut boleh mengambil kos pengurusan secara berpatutan dan selebihnya diagih sebagaimana kehendak pewakaf.

  • Majlis Agama Islam Kelantan sebagai Nazir yang menjadi pengawal tunggal ke atas tanah wakaf am atau khas yang terletak hak kepadanya, tiadalah boleh melakukan pemindah hakkan atau penyerah hakkan kepada mana-mana pihak lain samada mauquf alaih (pewaris si pewakaf) atau individu atau syarikat terhadap pengurusan tanah dan harta wakaf yang berada di bawah kawalan dan tadbiran Majlis Agama Islam Kelantan.

  • Dalam usaha Majlis Agama Islam Kelantan memajukan tanah wakaf khas Al-marhum Tengku Kaya Pahlawan di Lot 2136 Mukim Panchor, Kota Bharu dengan membina kompleks Islam yang mengandungi Maahad Tahfiz Al-Quran, rumah anak yatim, markaz saudara baru dan beberapa lot gudang perniagaan, mesyuarat membuat keputusan bahawa pembangunan projek ini diharuskan dan tidak bercanggah dengan hukum syara.

6) Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang bersidang pada 23 September 2001 telah membincangkan fatwa berkenaan Wakaf Al-Irshod. Mesyuarat telah membuat keputusan bersetuju memfatwakan sebagaimana berikut:

  • Hukum Wakaf al-irshod adalah sah kerana harta milik kerajaan adalah untuk kepentingan umum dan seseorang pemerintah memeng berkuasa dalam bidang ini berdasarkan jawatannya.
  • Wakaf ini tidak boleh dibatalkan atau dipinda dari tujuan asal kepada tujuan lain.
  • Tidak wajib terikat dengan syarat yang dikenakn oleh pihak yang mewakafkan jika syarat itu berlawanan dengan maslahah kerana tujuan Wakaf Al-Irshod ialah untuk maslahah umum.

Unit Waqaf MAIK telah melancarkan Sistem Waqaf Tunai dan Laman Rasmi Waqaf Tunai pada 22 Disember 2015. Waqaf Tunai telah dirasmikan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Muhammad V bersama Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan. Sistem ini adalah bertujuan bagi memudahkan masyarakat membuat sumbangan waqaf melalui debit, kredit secara atas talian (online), JomPay dan eMandate. Orang awam boleh melayari Laman Rasmi Waqaf Tunai di waqaf.e-maik.my.

Klik pada ikon Sistem Waqaf Tunai

SYARAT PERLU TRANSAKSI MELALUI DIRECT DEBIT ONLINE WAQAF TUNAI :-

  1. Mempunyai Akaun Semasa / Simpanan daripada bank-bank yang dinyatakan di atas dan berdaftar perkhidmatan perbankan elektronik.
  2. Mempunyai akaun pendaftaran login id penyumbang Waqaf Tunai MAIK. Pendaftaran baru boleh dibuat melalui https://waqaf.e-maik.my/emandate/dd
  3. Disediakan untuk sumbangan waqaf tunai MAIK.
  4. Membuat Permohonan Pendaftaran Direct Debit Secara Online di halaman web https://waqaf.e-maik.my/emandate/dd.
  5. Klik mohon Direct Debit Online.
  6. Penyumbang boleh mengemaskini dan menamatkan semula konfigurasi direct debit yang berjaya didaftar.
  7. Jika terdapat perubahan email, no telefon, amaun, pengemaskinian tersebut boleh dibuat Menu Penyelanggaraan Direct Dabit.

SEBAB-SEBAB PERMOHONAN DIRECT DEBIT TIDAK BERJAYA DIPROSES
Permohonan Direct Debit tidak berjaya diproses jika :-

  1. Akaun penyumbang tidak aktif
  2. Kegagalan semasa proses log masuk ke sistem perbankan internet bank penyumbang
  3. Kegagalan semasa proses pengesahan bayaran/deposit RM1 melalui sistem perbankan internet bank penyumbang
  4. Terdapat Simbol + (plus sign) atau -(hyphen) pada Nombor Telefon.Semua digit sahaja dibenarkan
  5. Akaun email penyumbang MELEBIHI 27 aksara panjang.
  6. Terdapat Simbol -(hyphen) pada Akaun Bank.Semua digit sahaja dibenarkan
  7. Baki akaun tidak mencukupi semasa proses pengesahan bayaran/deposit RM1 melalui sistem perbankan internet bank penyumbang.
  8. Sebab-sebab lain yang ditentukan oleh pihak bank penyumbang.

INFO TAMBAHAN

Kemudahan direct debit adalah PERCUMA. Tiada caj dikenakan untuk permohonan dan setiap transaksi direct debit yang berjaya.

Walau bagaimanapun, bayaran/ deposit pendaftaran dikenakan sebanyak RM1.00 pada setiap kali permohonan baru dibuat.

Bayaran RM1 semasa pendaftaran akan menjadi sebahagian daripada sumbangan pertama direct debit.

  • UNIT WAKAF
    Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan
    Kompleks Balai Islam, Lundang
    Jalan Sultan Yahya Petra,
    15200 Kota Bharu, Kelantan

  • Telefon : +609 7481512

  • Emel : waqaftunai [at] e-maik [dot] myy

  • Waktu Berurusan :
    Ahad hingga Rabu : 8.00 pagi - 5.00 petang
    Khamis : 8.00 pagi - 3.30 petang
    Jumaat & Sabtu : Cuti

HUBUNGI KAMI

Talian : +609-7481512

Faks: +609-7485512

Emel: maik [at] e-maik [dot] my

Aduan: KLIK DI SINI

BILANGAN PENGUNJUNG

Hari Ini1543
Kelmarin3328
Minggu Ini18023
Bulan Ini108197
Jumlah Pengunjung22992801