Sebagai langkah susulan untuk memastikan keberkesanan dan kesinambungan Program Penarafan Masjid Negeri Kelantan yang telah dilaksanakan, MAIK dengan penuh komitmen telah melaksanakan Program Tanwir Masjid Negeri Kelantan.
Program ini dirangka dengan pendekatan mentor-mentee, yang mana masjid-masjid yang telah mencapai tahap cemerlang dengan anugerah 4 dan 5 bintang, diberi tanggungjawab untuk menjadi mentor kepada masjid-masjid yang memperoleh anugerah 1 bintang.
Melalui bimbingan dan kerjasama ini, masjid-masjid mentor akan berkongsi pengalaman, amalan terbaik, serta strategi pengurusan dan pengimarahan yang efektif untuk membantu masjid mentee memperbaiki mutu perkhidmatan mereka.
Berdasarkan laporan yang diterima, sejumlah 26 buah masjid mentor dan 73 buah masjid mentee telah berjaya melaksanakan program secara bersama sebagaimana garis panduan yang telah ditetapkan.
Pada hari ini juga, Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato' Haji Mohamad Rizam Bin Tengku Abdul Aziz, Tengku Temenggong Kelantan juga Yang Dipertua MAIK, telah menyampaikan Anugerah Masjid Terbaik Program Tanwir Masjid (Mentor-Mentee) Negeri Kelantan Tahun 2024.
Anugerah Masjid Terbaik Kategori Mentor, Bagi Program Tanwir Masjid Negeri Kelantan 2024 :
Masjid Jamek Tengku Muhammad Fa-iz Petra, Gua Musang
Anugerah Masjid Terbaik Program Tanwir Masjid Negeri Kelantan 2024 Kategori Mentee:
Masjid Mukim Pasir Tumboh, Gua Musang
Anugerah Masjid Terbaik Program Tanwir Masjid Negeri Kelantan 2024 Kategori Mentee:
Masjid Mukim Pos Hendrop, Lojing
Sebagai penghargaan dan galakkan daripada MAIK, pihak masjid yang menerima anugerah ini mendapat hadiah dalam bentuk geran bernilai RM10,000 bagi tujuan pembangunan, imarah, kebersihan dan landskap.
Tahniah diucapkan kepada Masjid Mentor dan Mentee Terbaik Tahun 2024.