LEGA BILA DUIT ZAKAT JADI WANG SAKU SEKOLAH ANAK
Ibu bapa kepada anak-anak Orang Asli yang berjaya menempatkan diri ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Pengkalan Chepa hari ini meluahkan rasa syukur yang tidak terhingga dan merasa terlalu lega apabila anak-anak mereka menerima wang saku daripada pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Itulah yang diluahkan kepada pihak MAIK selepas anak-anak mereka menerima bantuan zakat daripada MAIK kerana baginya untuk anak-anak mereka berjaya sudah tentulah sumber kewangan amat penting supaya pembelajaran mereka tidak terjejas.
Sumbangan yang diberikan oleh MAIK merupakan satu tajaan biasiswa di bawah Program Biasiswa Tengku Anis (BTA) Khas MAIK. Jumlah tajaan MAIK adalah sebanyak RM450 sebulan, dikreditkan terus ke dalam akaun pelajar sehingga pelajar menamatkan persekolahan.
Pada hari ini tiga orang pelajar Orang Asli iaitu, Nur Muhammad Al-Khawarizmi bin Rosmi (Sekolah Kebangsaan Kuala Betis), Muhammad Putra Faizul bin Ab Ghani (Sekolah Kebangsaan Sungai Rual) dan Elfira Nur Zulhaiza binti Emmie (Sekolah Kebangsaan Sungai Rual) telah mendaftar sebagai pelajar Tingkatan 1 di Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra.
Mereka adalah diantara 4 pelajar Orang Asli dari Negeri Kelantan yang melakar sejarah apabila berjaya menempatkan diri ke SBP buat pertama kali selepas sedekad.
Sempena Sesi Pendaftaran Tingkatan 1 dan 4 Ambilan Kedua Tahun 2026 di Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, hari ini, pihak MAIK diwakili Yang Berusaha Tuan Haji Muhamad Rasani bin Ramli, Setiausaha MAIK telah menyampaikan sumbangan tersebut dan majlis turut dihadiri Yang Berusaha Puan Hajah Siti Norina binti Muhamad, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan.
Seorang ibu, Siti binti Harun berusia 35 tahun memberitahu kami dia sangat lega apabila pihak MAIK memberikan sumbangan zakat untuk persekolahan anak lelaki tunggalnya kerana dia tidak bekerja dan suami pula bekerja kampung.
Seorang penerima, Nur Muhammad Al-Khawarizmi pula berterima kasih kepada pembayar zakat kerana sumbangan yang diberikan ini amat bermakna buatnya. Duit zakat ini baginya dapat meringankan beban keluarganya dalam soal belanja sekolah kerana dia tahu dia memerlukan duit yang banyak untuk belajar dengan baik.
Pihak MAIK turut gembira dan bersyukur dengan kejayaan yang dicapai oleh anak-anak ini dan kami mendoakan supaya suatu hari nanti anak-anak ini dapat membantu mengubah nasib mereka dengan tidak mensia-siakan peluang belajar di sini.
Sempena bulan Ramadan yang penuh berkat ini, ayuh kita mengambil peluang untuk menunaikan zakat bersama MAIK.
