MUJUR ISTERI SELAMAT
Tidak pernah terbayang, rumah yang didiami lebih 20 tahun lalu bersama isteri hangus sekelip mata dalam kebakaran. Namun bagi Syed Ab Hamid bin Syed Ahmad, 78, itu semua sudah ketentuan Ilahi. Lebih penting bagi mangsa, isterinya Siti Haminah binti Daud, 64, yang menghidap sakit tulang belakang, terselamat dalam kebakaran tersebut.
Bagi Syed Ab Hamid, rumah mereka yang musnah boleh dibina semula dengan rezeki ALLAH SWT, jika sesuatu menimpa isterinya itu mungkin sukar untuk dihadapinya. Dia tahu kerana isterinya sukar untuk bergerak dengan cepat.
Si suami bersyukur dan berterima kasih kepada jiran-jirannya yang berusaha menyelamatkan isterinya yang bersendirian di dalam rumah ketika kejadian tersebut. Ketika kejadian, dia sedang menunaikan solat Zuhur berjemaah di Masjid Jamek D’Raja Long Yunus, Langgar, Kota Bharu. Isterinya juga memberitahu, api marak dengan terlalu cepat. Lima kereta milik mereka juga hangus dalam kejadian petang semalam di Jalan Kubur Maras, Kota Bharu.
Dalam masa sama, pasangan suami ini menganggap semua yang dihadapinya ini adalah sebagai ujian daripada ALLAH SWT untuk mereka sekeluarga dan sangat yakin apa yang dilalui ini ada hikmah di sebaliknya. Apatah lagi melihat al-Quran yang masih terselamat dalam api yang marak sebegitu besar.
Tragedi yang menimpa mangsa telah tular dan pada Jumaat hari ini, pihak MAIK telah segera turun padang bertanya khabar keluarga tersebut. Pada hari ini, Yang Berusaha Puan Siti Farahida binti Fauzi, Pegawai Agihan Zakat MAIK, telah menyampaikan bantuan segera sebanyak RM2,000 kepada keluarga Syed Ab Hamid. MAIK juga turut menghulurkan sumbangan RM1,000 kepada jiran mangsa yang mana bahagian dinding rumahnya turut terbakar.
Semoga sumbangan yang disampaikan ini dapat meringankan sedikit beban buat keluarga ini dan kami doakan semoga mereka tabah menghadapi ujian ini.
