PERGINYA ANAK PAPA DAN MAMA...
Suasana pilu menyelubungi keluarga allahyarham adik Muhammad Naim Mohd Zahir Alam, 12, yang mati lemas dalam satu kejadian cubaan membantu menyelamatkan rakannya yang lemas ketika mandi sungai berdekatan Jambatan Bunut Payong, Kota Bharu semalam.
Pada hari ini, pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah menyantuni keluarga tersebut di Telipot. Ketika ziarah petang tadi, kedua-dua ibu bapa arwah memberitahu mereka redha dengan ujian yang dihadapi setelah kehilangan anak ketiga daripada lima beradik itu.
Namun bicara mereka sangat sebak petang tadi, kerana masih teringatkan arwah yang pergi sekelip mata. Arwah disifatkan sebagai seorang anak yang terlalu baik dan sangat patuh. Tidak pernah meninggikan suara.
Tragedi ini turut menyentuh hati kami dan pada hari ini, MAIK diwakili Yang Berusaha Puan Siti Farahida binti Fauzi (Pegawai Agihan Zakat MAIK), Yang Berusaha Encik Muhamad Firdaus bin Mat Rahim (Pegawai Komunikasi Korporat MAIK) dan Al-Fadhil Ustaz Sabri bin Abdullah (Imam Tua Masjid Jamek Sultan Muhammad II, Telipot) telah menziarahi keluarga ini dan menyampaikan sumbangan segera berjumlah RM1,000.
Ustaz Sabri turut memaklumkan, arwah juga pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ismail 3, Kota Bharu ini adalah seorang kaki masjid dan juga seorang yang ringan tulang. Pihak Masjid Jamek Sultan Muhammad II, Telipot turut mengadakan tahlil di masjid bersama-sama jemaah yang lain.
Salam takziah daripada warga MAIK buat ibu bapa arwah, Maizatuakma Zakaria, 46, dan Mohd Zahir Alam, 47. Kami juga mendoakan semoga arwah ditempatkan bersama insan yang diredai ALLAH SWT.
