Sejumlah RM8 juta wang zakat diperuntukan kepada asnaf mualaf bagi tahun 2025. Ia membabitkan elaun peserta kelas fardhu ain mingguan saudara baru, elaun guru, bantuan pendidikan, bantuan prasarana dakwah dan aktiviti serta program-program bersesuaian.
Ini jelas menunjukkan komitmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) memperjuangkan kebajikan saudara baru dan memajukan para mualaf.
Ini melibatkan mereka yang mengikuti pengajian di negeri Kelantan terutamanya kebajikan menuntut ilmu pengetahuan dalam bidang keagamaan.
Ia juga memberi peluang kepada suadara baru mualaf di negeri ini mempelajari ilmu dengan baik dan sempurna sesuai dengan tuntutan zaman.
Sebagai dorongan dan bimbingan berterusan juga, pihak MAIK dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) telah mengadakan kelas pengajian fadhu ain kepada saudara baru.
Kelas ini ini dilaksanakan pada setiap Jumaat dan dipantau oleh Pegawai Agama di setiap jajahan. Kelas ini mendapat sambutan yang baik yang mana pada tahun ini seramai 475 orang telah menyertai secara aktif berbanding 450 peserta tahun 2024.
Semalam telah berlangsungnya Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri dan Berbuka Puasa Bersama Peserta Kursus Fardu Ain Mingguan Saudara Baru Tahun 1446H/2025M di Masjid Jamek Muhammadi, Kota Bharu.
Pada majlis tersebut, seramai 132 suadara baru yang tinggal di sekitar jajahan Kota Bharu diberikan hamper dan juga duit raya.
Sumbangan telah disampaikan oleh Yang Amat Berbahagia, Dato’ Haji Mohd Anis bin Hussein (Timbalan Yang Dipertua MAIK) bersama Yang Amat Berusaha Dr. Hasnan bin Haji Ramli, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK).
Hadir sama Yang Berusaha Tuan Haji Muhamad Rasani bin Ramli (Setiausaha MAIK) dan Al-Fadhil Ustaz Murtadha bin Abdullah (Ketua Pegawai Agama MAIK).
Sumbangan yang diterima para saudara baru dalam pelbagai cabang ini adalah daripada wang zakat yang diterima oleh pihak MAIK.
Pihak MAIK mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada semua pembayar zakat kami. Didoakan semoga mereka ini mendapat ganjaran pahala berterusan daripada Allah SWT.