ZAKAT EMAS PERHIASAN SERING DIANGGAP REMEH
Zakat emas perhiasan sering dianggap remeh atau kurang diberi perhatian, sedangkan nilainya boleh menjadi sumber yang signifikan dalam membantu golongan asnaf sekiranya ditunaikan dengan sempurna.
Itu antara penekanan oleh Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam bin Tengku Abdul Aziz, Tengku Temenggong Kelantan juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dalam ucapan Majlis Perasmian Penutup Persidangan Antarabangsa Syariah dan Muamalat 2026 (International Conference On Shari`Ah And Muamalat 1.0) dengan Tema “Zakat Emas Perhiasan: Integrasi Fiqh” hari ini.
Majlis yang diadakan di Dewan Johor, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Nilam Puri turut dihadiri Yang Mulia Tunku Puan Sri Dato’ Hajah Noor Hayati binti Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tengku Puan Temenggong Kelantan.
Justeru Yang Berhormat Mulia Tengku Yang Dipertua MAIK memaklumkan yang program-program ilmiah seperti persidangan ini amat penting sebagai medium pendidikan dan penyebaran maklumat yang sahih kepada masyarakat.
Antara isu yang sangat penting untuk terus diberikan penekanan ialah zakat emas perhiasan. Di Kelantan, telah difatwakan bahawa wanita-wanita yang memakai emas perhiasan melebihi 600 gram dalam tempoh setahun adalah wajib mengeluarkan zakat.
Perkara ini perlu difahami dengan jelas agar tiada kekeliruan dan setiap individu yang menepati syarat dari sudut hukum Islam, dapat menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan penuh kesedaran dan keikhlasan.
Terima kasih kepada penganjur, KIAS atas kesungguhan dan komitmen menganjurkan persidangan yang amat signifikan ini, dengan kerjasama MAIK dan juga Permodalan Kelantan Berhad (PKB).
Bagi Yang Berhormat Mulia Tengku YDP MAIK, penganjuran persidangan bertaraf antarabangsa seperti ini jelas membuktikan keseriusan institut pengajian tinggi Islam dalam memperkasa kefahaman syariah dan muamalat selari dengan keperluan semasa masyarakat Islam khususnya di Negeri kelantan.
Terima kasih kepada semua pembentang kertas kerja, panel forum, peserta dari dalam dan luar negara, serta seluruh jawatankuasa pelaksana yang telah bertungkus-lumus menjayakan persidangan ini. Komitmen dan kesungguhan semua pihak ini mencerminkan semangat cintakan ilmu dan kesatuan dalam memperkasa syariah Islamiah.
Semoga segala perbincangan, resolusi dan dapatan yang dihasilkan sepanjang persidangan ini dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang praktikal dan berimpak tinggi kepada pembangunan ummah, khususnya dalam memperkukuh institusi zakat dan sistem muamalat Islam di Negeri kelantan.
Majlis pada hari ini, turut dihadiri Yang Berhormat Dato’ Haji Wan Roslan bin Wan Hamat, (Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan) dan Yang Berbahagia Datin, Yang Berhormat Ustaz Mohd Asri Bin Mat Daud (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan) dan Yang Berbahagia Isteri, Yang Amat Berbahagia Dato’ Haji Mohd Anis Bin Hussein (Timbalan Yang Dipertua MAIK) dan Yang Berbahagia Datin, Yang Amat Berusaha Profesor Dr. Mazlan Bin Ibrahim (Rektor KIAS) dan Yang Berbahagia Isteri.
