ZAKAT MAIK SELAMATKAN 215 KELUARGA BERLINDUNG DI KEDIAMAN BAHARU
Memilik kediaman yang selesa untuk isteri dan anak-anak bukan sekadar impian kosong tetapi itulah yang melekat disanubari seorang suami juga ayah. Namun semuanya itu tidak mudah untuk direalisasikan jika kita tidak memiliki kemampuan kewangan untuk mendirikan mahligai ini.
Hakikatnya, kumpulan tidak berkemampuan ini sebenarnya mempunyai sinar harapan untuk hidup bahagia dengan suasana lebih selesa, yang mana ia menjadi realiti dengan bantuan wang zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Sepanjang tahun 2025, MAIK telah membantu sebanyak 215 keluarga memiliki rumah baharu di seluruh jajahan di Kelantan, menjadikan mereka dapat berlindung di kediaman amat selesa berbanding sebelumnya.
Kecaknaan pembayar zakat MAIK ini melibatkan sejumlah nilai yang tinggi iaitu sebanyak RM14.9 juta, yang sekali gus membuktikan komitmen berterusan MAIK dalam memastikan kebajikan asnaf sentiasa terbela.
Pada hari ini, Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Bin Tengku Abdul Aziz, Tengku Temenggong Kelantan telah menyerahkan replika kunci kepada 24 penerima Bantuan Rumah Kediaman MAIK di Jajahan Bachok sempena Majlis Pelancaran Bantuan Awal Persekolahan Asnaf Tahun 2026 dan Penyerahan Replika Kunci Rumah MAIK di Masjid Jamek Mahmoodi, Bachok.
Majlis turut dihadiri Yang Mulia Tunku Puan Sri Dato’ Hajah Noor Hayati Binti Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tengku Puan Temenggong Kelantan.
Menerusi bantuan ini, pihak MAIK menyediaan kediaman baharu yang dilengkapi 3 bilik ( RM 65,000) ,4 bilik ( RM 73,000 ) dan 5 bilik ( RM 80,000 ) bilik bergantung kepada keperluan asnaf.
Hadir sama hari ini, Yang Amat Berbahagia, Dato’ Haji Mohd Anis Bin Hussein ( Timbalan Yang Dipertua, MAIK ), Yang Berbahagia Datin Dr. Norehan Binti Mohd Hashim ( Isteri Timbalan Yang Dipertua, MAIK), Yang Amat Berusaha Tuan Haji Mohd Zaki Bin Yusoff ( Ketua Jajahan Bachok ), Yang Berbahagia Puan Hajah Zanida Binti Shafie ( Isteri Ketua Jajahan Bachok ), Yang Berusaha Tuan Haji Muhamad Rasani Bin Ramli ( Setiausaha, MAIK ), Yang Berbahagia Puan Hajah Nur Hidayah Binti Ramli ( Isteri Setiausaha, MAIK ) dan YDH. Superintenden Mohamad Ismail Bin Jamaluddin (Ketua Polis Daerah Bachok).
