Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) meneruskan misi menyantuni asnaf-asnaf bersama dengan imam-imam masjid bandar dan jajahan pada bulan Ramadan, bulan penuh kemuliaan meskipun cuaca agak panas.
Pada hari ini, Yang Amat Berbahagia Dato' Haji Mohd Anis bin Hussein, Timbalan Yang Dipertua MAIK bersama Yang Berusaha Tuan Haji Muhamad Rasani bin Ramli (Setiausaha MAIK) telah menyantuni tiga keluarga asnaf untuk menyampaikan bantuan segera berbentuk wang tunai dan bakul makanan di Melor, Kelantan.
Sesi ziarah asnaf pada hari ini turut disertai Yang Berusaha Encik Ikhwan bin Mat Yasin (Pegawai Pengurusan Projek MAIK), Puan Siti Farahida binti Fauzi (Pegawai Agihan Zakat MAIK), Yang Berusaha Encik Muhamad Firdaus bin Mat Rahim (Pegawai Komunikasi Korporat MAIK) dan AF. Ustaz Mohd Sharil bin Che Man (Imam Tua Masjid D’Raja Tengku Aziza Binti Tengku Hamzah).
Ketiga - tiga keluarga ini mengalami kesulitan hidup yang berbeza. Kami dimaklumkan kesusahan yang dilalui ini dikongsikan bersama penghulu dan juga imam. Pihak masjid banyak membantu memberikan sumbangan makanan dan juga wang tunai bagi mengurangkan beban mereka. Pihak masjid manfaatkan wang zakat dan sedekah untuk membantu mereka yang memerlukan ini.
Pada hari ini setelah mendapat tahu tentang ujian yang dihadapi keluarga ini, kami segera turun padang menyantuni mereka. Kami sampaikan bantuan segera berbentuk wang tunai dan juga bakul makanan. Sumbangan yang disampaikan hari ini adalah sebenarnya hasil daripada wang zakat yang telah diinfakkan oleh pembayar kepada kami dan kami sampaikan amanah ini kepada insan yang memerlukan pada bulan Ramadan, bulan penuh keberkatan.
Wahai pembayar zakat kami, hari ini kami sampaikan ucapan terima kasih dan doa daripada asnaf-asnaf yang menerima bantuan daripada kalian. Mereka doakan semoga ALLAH SWT kurniakan ganjaran yang terbaik dan menjadikan zakat ini sebagai salah satu asbab untuk semua pembayar zakat MAIK mendapat kemuliaan ALLAH SWT di akhirat kelak. Amin, Amin, Amin Yarabbal Alamin. Tiada yang paling diharapkan dalam kehidupan kita, kecuali bertemu dengan Maha Pencipta dengan kemuliaan kelak.