MAIK BERSAMA MAIDAM SANTUNI KELUARGA ASNAF DI KUBANG KERIAN
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah menyantuni dan menyampaikan berita gembira kepada dua keluarga asnaf di Kubang Kerian yang dimaklumkan menghadapi ujian tidak terduga buat mereka.
Kunjungan kami semalam, adalah bersempena dengan Lawatan Bermaklumat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu ( MAIDAM) Kepada Pihak MAIK selama dua hari bermula kelmarin bagi berkongsi ilmu berkaitan Sistem eAgihan MAIK dan dalam masa sama mempelajari proses agihan bantuan dilaksanakan pihak MAIK.
Pihak MAIK telah diwakili Yang Berusaha Puan Siti Farahida binti Fauzi, Pegawai Agihan Zakat, MAIK sementara MAIDAM pula disertai Yang Berusaha Tuan Haji Ahmad Nordin bin Alias, Penolong Kanan Setiausaha (Teknologi Maklumat) dan Yang Berusaha Tuan Haji Yaacob bin Abdullah, Penolong Setiausaha (Agihan Zakat) bersama 11 wakil delegasi MAIDAM yang lain.
Kisah di rumah pertama yang kami singgah hari ini adalah berkaitan dengan, cabaran dihadapi pasangan suami isteri yang menjaga dua daripada empat anaknya yang sakit.
Seorang anaknya berusia 8 tahun menghidap kanser pangkal otak sementara seorang lagi berumur 4 bulan menghidap sumbing bibir dan juga lelangit.
Bagi mengurangkan bebanan keluarga ini pihak kami telah meluluskan bantuan zakat bulanan MAIK berjumlah RM1,000 sebulan dan juga Bantuan Perubatan sebanyak RM3,000.
Untuk rumah kedua pula, kami telah menyantuni keluarga Encik Ahmadi yang bekerja dalam keadaan kurang sihat kerana masih menyara 6 anak sedang belajar.
Pihak kami telah menyampaikan sumbangan zakat supaya dapat membantu mengurangkan beban keluarga ini. Kami sampaikan Bantuan Am sebanyak RM2,000. Dua anaknya yang belajar di sekolah menengah dipertimbangkan untuk Biasiswa Tengku Anis MAIK. MAIK juga memperuntukan RM5,000 untuk Bantuan Pemulihan Rumah.
Selain bantuan kewangan kami sampaikan bakul makanan kepada kedua-dua keluarga ini.
Terima Kasih Pembayar Zakat. Zakat Anda Gembirakan Insan Memerlukan.
