PROJEK KAUNTER BAITULMAL JULANG NAMA MAIK SEBAGAI JOHAN AZK KATEGORI INOVASI ZAKAT TERBAIK (KUTIPAN) PERINGKAT KEBANGSAAN 2025
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) terus mengukir kecemerlangan apabila dinobatkan sebagai Johan Kategori Inovasi Zakat Terbaik (Kutipan) sempena Anugerah Zakat Kebangsaan (AZK) 2025.
Kejayaan ini menambah rekod cemerlang MAIK di pentas AZK, selepas pada tahun lalu MAIK turut meraih kemenangan menerusi Kategori Inovasi Zakat Terbaik (Agihan). Pencapaian dua tahun berturut-turut ini membuktikan komitmen MAIK dalam memperkukuh keseluruhan ekosistem zakat secara menyeluruh dan bersepadu.
Pengiktirafan berprestij tahun ini diraih melalui Projek Pemerkasaan Kaunter Baitulmal di Masjid sebagai Pemangkin Inovasi Zakat, yang telah berjaya mengharumkan nama MAIK di persada kebangsaan.
Anugerah telah disampaikan oleh Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, kepada Yang Amat Berbahagia Dato’ Haji Mohd Anis bin Hussein, Timbalan Yang Dipertua MAIK, dalam majlis yang berlangsung di Hotel Zenith Putrajaya.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh YBrs. Tuan Haji Muhamad Rasani bin Ramli, Setiausaha MAIK; AF. Haji Murtadha bin Abdullah, Ketua Pegawai Agama MAIK; YBrs. Puan Marziati binti Yusoff, Pegawai Teknologi Maklumat MAIK; AF. Ustaz Ameer Azeezy bin Tuan Abdullah, Ketua Pegawai Zakat MAIK; YBrs. Encik Ahmad Syazwan bin Muhammad Hasan, Pegawai Pengurusan Projek MAIK; YBrs. Encik Fathul Hakim bin Kamarul Zaman, Pegawai Pengurusan Pegawai Masjid Mukim MAIK; YBrs. Puan Rosmiza binti Kasim, Penolong Pegawai Komunikasi Korporat MAIK; serta YBrs. Puan Faezah binti Abdullah, Penolong Pegawai Zakat MAIK.
Kaunter Baitulmal diwujudkan sebagai wasilah mesra pelanggan bagi memudahkan pembayar zakat menunaikan kewajipan agama dengan lebih selesa dan cepat. Selain itu, Kaunter Baitulmal turut berperanan sebagai pusat khidmat kepada asnaf untuk membuat permohonan bantuan zakat serta mendapatkan bantuan dengan lebih cepat, teratur dan berkesan.
MAIK merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga kerja yang telah menyumbang kepada kejayaan besar ini. Kemenangan ini merupakan hasil komitmen, usaha gigih dan kerjasama semua pihak.
