SAKIT PALO MIKIR, MAHAL BLAKO...MUJUR ADO DUIT ZAKAT MAIK
Seorang ibu juga mangsa kebakaran buntu memikirkan untuk mencari rumah sewa disebabkan harganya yang sangat tinggi di sekitar bandar Kota Bharu. Paling murah yang dia jumpa adalah RM800.
Jumlah itu sangat besar buat mereka kerana pendapatan bukannya tinggi, anak-anak masih bersekolah. Dia juga perlu menampung perbelanjaan perubatan abangnya yang terlantar akibat kemalangan jalan raya.
Rumah pusaka yang didiami, Noor Salwani binti Tuan Ahmad Sulong, 38 bersama 8 penghuni lain (2 keluarga) termasuk suami, anak, abang sulung yang kematian isteri serta anak saudaranya di Lorong Kubur Maras, hangus sekelip mata dalam kebakaran pada Ahad lepas.
Noor Salwani yang bekerja sebagai pengawal keselamatan tandas di Pasar Besar Siti Khadijah, Kota Bharu memberitahu buat masa ini mereka terpaksa ‘berpecah’ dan menumpang di merata tempat, rumah ahli keluarga dan juga rumah kawan-kawan disebabkan mereka ramai.
Dia pun berfikir, sampai bila dia perlu menumpang dan dia berikhtiar mencari rumah sewa tetapi harganya sangat mahal. Bukan itu sahaja, dia juga buntu memikirkan tentang persiapan persekolahan anak-anak.
Kelengkapan serba baharu yang dibeli juga hangus dalam kebakaran.
Allahuakbar. Besarnya ujian yang dihadapi Noor Salwani. Dahlah Ramadan hampir tiba, Aidilfitri juga bakal menyusul. Anak-nak pun nak bersekolah lagi.
Disebalik dugaan besar ini, in shaa Allah ada rezeki lain untuk keluarga ini. Maka pihak MAIK sebagai pengantara turun padang dengan segera membantu keluarga ini. Pihak MAIK mewakili pembayar zakat kami dengan segera tampil menyampaikan berita gembira buat mereka.
MAIK diwakili Yang Berusaha Puan Siti Farahida binti Fauzi, Pegawai Agihan Zakat, MAIK dan Yang Berusaha Encik Muhamad Firdaus bin Mat Rahim, Pegawai Komunikasi Korporat MAIK telah menyantuni keluarga ini.
Kami sampaikan bantuan segera berbentuk wang tunai berjumlah RM3,000 kepada Noor Salwani. Bukan itu sahaja, Noor Salwani juga tidak perlu bimbang tentang kos bayaran rumah sewa kerana kami bersedia membantu menerusi Bantuan Rumah Sewa MAIK.
Untuk urusan perbelanjaan persekolah anak-anaknya juga, kami bersedia untuk mempertimbangkan Bantuan Biasiswa Tengku Anis MAIK.
Berita gembira juga buat Noor Salwani, pihak MAIK bersedia mempertimbangkan kediaman baharu menerusi Bantuan Rumah Kediaman MAIK.
Kedatangan kami juga turut membantu meringankan beban abang sulungnya yang terlantar akibat kemalangan jalan raya. Kami sampaikan sumbangan segera berbentuk wang tunai berjumlah RM3,000 dan akan menyediakan Bantuan Perubatan kepadanya.
Berita gembira ini disambut dengan kesyukuran oleh Noor Salwani bersama ahli keluarganya kerana di saat mereka diuji dengan dugaan berat ini, Allah SWT hadirkan pembayar-pembayar zakat MAIK untuk membantu menggembirakan mereka.
Lihatlah pembayar zakat, betapa bermaknanya harta yang diinfakkan oleh kalian.
Hanya ALLAH SWT yang mampu membalas jasa kalian dan kami doakan semoga ALLAH SWT melipatgandakan rezeki serta keberkatan buat kalian. Amin Ya Rabbal Alamin.
Jadi yang mana masih belum menunaikan zakat, jom berzakat dengan MAIK. Jangan lupa tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk tahun 2025 bakal melabuhkan tirainya.
Jangan lupa bayar zakat. Sucikan Harta Dengan Berzakat.
