faq lokasi aduan peta


BERITA 2024

MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN

KONVENSYEN MASJID NUSANTARA 2024 ISYARAT PERPADUAN UMMAT

 

Alhamdulillah pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah mencipta sejarahnya tersendiri menerusi penganjuran Konvensyen Masjid Nusantara 2024 di Kota Bharu dengan menghimpunkan 8 buah negara membabitkan lebih 800 peserta.

Konvensyen bermula 28 Jun hingga 30 Jun 2024 itu berlangsung di Renai Hotel Kota Bharu, disertai perwakilan luar iaitu dari negeri Nusantara iaitu Indonesia, Singapura dan 4 wilayah Selatan Thailand dan turut melibatkan perwakilan dari Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri seluruh Malaysia.

Konvensyen ini diinisiatifkan oleh Akademi Latihan Al-Muhammadi (ALAMi) iaitu sebuah entiti yang ditubuhkan oleh MAIK untuk menganjurkan kursus, program peningkatan kerjaya dan latihan kepada para pegawai masjid.

Penganjuran ini bermula apabila pihak MAIK telah melaksanakan Program Penarafan Masjid pada tahun 2023 yang lalu kepada 611 masjid seluruh Negeri Kelantan.

Konvensyen ini telah disempurnakan Yang Berhormat Mulia, Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam bin Tengku Abdul Aziz, Tengku Temenggong Kelantan juga Yang Dipertua MAIK.

Penganjurannya, antara lainnya bertujuan sebagai medium mengumpulkan para penggerak masjid seluruh negara untuk berkongsi pengalaman dalam menguruskan masjid cemerlang di tempat dan lokaliti masing-masing.

Pembentangan yang dilakukan oleh enam ahli panel daripada pelbagai latar belakang juga pada hari ini semestinya membawa manfaat dan impak positif kepada syiar agama itu sendiri.

Sesungguhnya perhimpunan pada hari ini adalah suatu isyarat perpaduan dan kesatuan kita semua dengan komitmen yang serius dalam membangun dan membincangkan hal ehwal masjid yang menjadi medium menyatupadukan kesatuan ummat Islam.

Fungsi dan peranan masjid seharusnya tidak terkongkong dalam lingkungan zon dan kawasan tertentu, sebaliknya merentasi sempadan negeri dan negara.

Resolusi konvensyen yang telah dipersetujui bersama perwakilan dan delegasi yang hadir iaitu:

  • Memperkasa institusi masjid sebagai entiti mandiri dan berdaya saing melalui jalinan kerjasama strategik antara masjid-masjid di Asia Tenggara dan organisasi yang terlibat dalam pembangunan dan pengimarahan masjid, dengan pengiktirafan dan penarafan yang selayaknya berpandukan hala tuju yang jelas.
  • Bagi menjayakan agenda kemandirian masjid, maka dicadangkan penubuhan Forum Masjid Nusantara sebagai penggerak dan penghubung antara masjid.

Pada majlis sama turut dilancarkan jurnal pertama ALAMi yang akan menjadi dokumen yang menghimpunkan wakalah penulisan berkaitan insitusi masjid dan majlis agama islam yang akan menjadi rujukan dan panduan untuk semua pihak yang memerlukan.

Pada majlis sama, Yang Berhormat Mulia Tengku Temenggong Kelantan turut menyampaikan Insentif Huffaz MAIK kepada 12 kakitangan MAIK yang berjaya khatam 30 juzuk al-Quran dan lulus ujian hafazan.

Majlis turut dihadiri Yang Berhormat Ustaz Mohd Asri bin Mat Daud, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan, Yang Berhormat Sahibus Samahah Dato’ Kaya Perba, Dato’ Haji Mohamad Shukri bin Mohamad, Yang Amat Arif Dato’ Haji Ibrahim bin Deris, Ketua Hakim Syarie Negeri Kelantan dan Yang Berhormat Dato’ Lela Perkasa, Dato’ Haji Che Mohd Rahim bin Haji Jusoh, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan.

Hadir sama, Yang Berhormat Dato’ Haji Nik Ab. Kadir bin Nik Mohamad, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Kelantan, Yang Berbahagia Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, Yang Amat Berusaha Haji Abdul Pattah bin Hasbullah, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (Pengurusan), Yang Berusaha Dr. Hasnan bin Haji Ramli, Timbalan Yang Dipertua MAIK, Yang Berbahagia Dato’ Sri Haji Muhammad Rafik bin Mohd Idris, Pengerusi Yayasan Abadi dan Yang Berusaha, Encik Saiful Anuar bin Hambali, Ketua Pegawai Syariah Kumpulan Bank Islam.

Pihak MAIK berbesar hati mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua jabatan dan agensi kerajaan, terutamanya Kerajaan Negeri Kelantan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Mufti Negeri Kelantan yang merupakan rakan strategik penganjuran konvensyen dan kepada semua penaja.

 

flickr

www.flickr.com

Cetak   Emel

HUBUNGI KAMI

Talian : +609-7481512

Faks: +609-7485512

Emel: maik [at] e-maik [dot] my

Aduan: KLIK DI SINI

BILANGAN PENGUNJUNG

Hari Ini937
Kelmarin2407
Minggu Ini19828
Bulan Ini937
Jumlah Pengunjung29305554