
LEBIH 1,000 JEMAAH HIDUPKAN MALAM NISFU SYAABAN 1446H
Alhamdulillah, kita masih diberikan peluang menghidupkan malam yang dinanti-nantikan, malam penuh keberkatan, iaitu malam Nisfu Syaaban.
Bagi mengimarahkannya, pada malam tadi lebih 1,000 jemaaah ini telah menghadiri Majlis Bacaan Yasin Malam Nisfu Syaaban 1446H/2025M yang diadakan di Masjid Jamek Muhammadi, Kota Bharu.
Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh AF. Ustaz Haji Hairul Azizi bin Mokhtar, Imam Tua 1 Masjid Jamek Muhammadi, Kota Bharu.
Kemudiannya para jemaah membaca Surah Yasin yang dipimpin oleh AF. Dr. Haji Muhamad Hana Pizi bin Abdullah, Imam Besar Negeri Kelantan dan diteruskan dengan bacaan doa daripada Yang Berhormat Sahibul Fadhilah Dato’ Haji Nik Abdul Kadir bin Nik Mohamad, Timbalan Mufti Negeri Kelantan.
Majlis turut dihadiri Yang Amat Berhormat Dato’ Panglima Perang Dato’ Haji Mohd Nasuruddin bin Haji Daud, Menteri Besar Kelantan dan Yang Amat Berbahagia, Dato’ Haji Mohd Anis bin Hussein, Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.
Majlis diakhiri dengan solat Isyak berjemaah yang diimamkan oleh AF. Imam Tua 1, Masjid Muhammadi, Kota Bharu.
Sempena Nisfu Syaaban, sama-sama kita memperbanyakkan amal dan berdoa semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa-dosa kita serta menerima amal ibadah kita.