APA KATA-KATA YANG BERHORMAT MULIA TENGKUTEMENGGONG KELANTAN BUAT PARA IMAM
Pada hari ini, 3 Mac 2024 bersamaan 22 Syaaban 1445 telah berlangsungnya Majlis Amanat Yang Berhormat Mulia Tengku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Bersama Pegawai Masjid Negeri Kelantan Tahun 2024 di Grand Ballroom, The Grand Renai Hotel, Kota Bharu.
Dalam majlis ini, Yang Berhormat Mulia Tengku turut menyampaikan tauliah pelantikan Pegawai Masjid Mukim kepada Imam dan Bilal yang baharu dilantik.
Majlis turut dihadiri, Yang Berhormat Ustaz Haji Mohd Asri bin Mat Daud, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan; Yang Berhormat Sahibus Samahah Dato’ Kaya Perba, Dato’ Haji Mohamad Shukri bin Mohamad, Mufti Negeri Kelantan; Yang Berhormat Sahibul Fadhilah Dato’ Haji Nik Abdul Kadir bin Nik Mohamad, Timbalan Mufti Negeri Kelantan; Yang Berbahagia Dato’ Haji Wan Hassan bin Wan Muhammad, Ahli Jemaah Ulama’ MAIK dan Yang Berusaha Tuan Haji Muhamad Rasani bin Ramli, Setiausaha MAIK.
Yang Berhormat Mulia Tengku menegaskan yang tauliah ini merupakan dokumen penting sebagai suatu tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepada Pegawai Masjid yang terpilih.
Pesan Yang Berhormat Mulia kepada semua penerima, bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Sultan Kelantan telah mengampuni perkenan menandatangani kesemua watikah pelantikan yang menggambarkan bahawa tugas dan peranan para Pegawai Masjid Mukim adalah besar khususnya dalam membawa tanggungjawab agama di setiap mukim bertugas.
Peranan Pegawai Masjid Mukim sememangnya mendapat pengiktirafan dan penghormatan masyarakat, sesuai dengan status orang agama yang dibawa oleh mereka.
Para Pegawai Masjid haruslah menjaga tatasusila, akhlak, keperibadian dan penampilan agar sentiasa dihormati dan disegani oleh masyarakat.
Justeru, para Imam sekalian seharusnya meletakkan tugasan Pegawai Masjid Mukim sebagai suatu yang serius dengan menepati jadual tugasan bertugas, menyantuni masyarakat dalam hal ehwal keagamaan dan kerohanian, serta mentadbir masjid dengan cara yang profesional terutama dalam pematuhan arahan pentadbiran MAIK dari semasa ke semasa.
Cerminan daripada imej yang baik akan memberikan mesej yang kuat kepada masyarakat bahawa institusi masjid selayaknya dipandang tinggi dan harus dijadikan teladan untuk masyarakat umumnya.
Laksanakan tugas dengan penuh keikhlasan dan amanah serta kejujuran, nescaya matlamat kita untuk mengembangkan syiar Islam akan terus berjaya pada masa hadapan.