SULTAN KELANTAN PERKENAN SEMBELIH 2 EKOR LEMBU KORBAN
Majlis Ibadat Korban Jama’ie Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bagi tahun 2024 berlangsung dengan penuh bermakna pada 18 Jun 2024 dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang telah menyempurnakan majlis tersebut.
Baginda berkenan untuk menyembelih 2 ekor lembu masing-masing hampir seberat 1 tan yang disaksikan oleh rakyat jelata yang sentiasa ternanti-nanti untuk melihat Tuanku Al-Sultan menyempurnakan sembelihan setiap kali tibanya Aidiladha.
Sempena program kali ini juga Baginda turut mengurniakan 7 ekor lembu untuk dikorbankan dan diagihkan kepada asnaf fakir dan miskin. Junjung kasih Tuanku.
Majlis juga dimeriahkan dengan keberangkatan Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Fakhry Petra Ibni Al-Marhum Sultan Ismail Petra, Tengku Mahkota Kelantan.
Hadir sama, Yang Amat Berhormat, Ustaz Dato’ Panglima Perang, Dato’ Haji Mohd Nassuruddin bin Haji Daud, Menteri Besar Kelantan dan Yang Berhormat Mulia, Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam bin Tengku Abdul Aziz, Tengku Temenggong Kelantan juga Yang Dipertua MAIK.
Acara tahunan dilaksanakan oleh pihak MAIK ini telah mendapat sambutan yang baik dengan pertambahan penyertaan dan jumlah lembu korban kali ini adalah sebanyak 53 ekor termasuk lembu dikurniakan oleh Tuanku.
Bagi menjayakan majlis korban pada kali ini juga, Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Fakhry Petra Ibni Al-Marhum Sultan Ismail Petra, Tengku Mahkota Kelantan bersama bonda Baginda, Yang Maha Mulia, Raja Perempuan Tengku Anis Binti Al-Marhum Tengku Abdul Hamid turut mengurniakan lembu untuk dikorbankan.
Selain itu, lembu-lembu yang dikorbankan ini juga turut disumbangkan oleh Kerabat Diraja, agensi kerajaan dan orang awam.
Daging korban ini diagihkan kepada 2,000 ketua isi rumah yang terdiri daripada asnaf fakir dan miskin menerusi masjid negeri, bandar dan jajahan terpilih.
MAIK juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua agensi dan pihak yang telah sama-sama mengimarahkan majlis ibadah korban pada tahun ini.
Semoga ALLAH SWT merahmati dan memberi ganjaran pahala yang berpanjangan kepada penyumbang serta semua pihak yang bekerjasama.