faq lokasi aduan peta


BERITA 2021

MAJLIS AGAMA ISLAM & ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN

MAIK HULURKAN BANTUAN SEGERA BANTU 42 MANGSA KEBAKARAN DI JALAN GAJAH MATI

Tiada siapa menduga, selepas waktu Maghrib malam semalam, sembilan keluarga membabitkan kira-kira 42 individu dikejutkan dengan kejadian kebakaran yang telah memusnahkan kesemua harta benda mereka.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 7.22 malam di Jalan Gajah Mati itu meninggalkan mimpi ngeri kerana rata-rata mangsa tidak dapat menyelamatkan harta benda mereka berikutan api marak dengan begitu cepat.

Akibat kejadian tersebut, mereka hilang tempat berteduh. Mereka terpaksa bermalam di Masjid Pakistan, berhampiran lokasi kebakaran. ALLAHUAKBAR... Betapa besarnya ujian mereka sudahlah rumah hangus sekelip mata, barangan lain juga tidak mampu diselamatkan. Hanya mampu melihat ia hangus di depan mata.

Atas rasa tanggungjawab, hari ini Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah segera turun padang dan bertanya khabar mangsa-mangsa yang terlibat dengan kejadian terbabit.

MAIK diwakili Al-Fadhil Imam Besar Negeri Kelantan, Ustaz Haji Muhamad Hana Pizi bin Abdullah telah menyantuni keluarga-keluarga mangsa dan turut menyampaikan sumbangan segera wang tunai bernilai RM2,000 kepada setiap keluarga.

Sumbangan turut disertai, YBrs Pegawai Agihan Zakat MAIK, Ustaz Mahamad Azmi Zakaria bersama YBrs Pegawai Komunikasi Korporat MAIK, Encik Muhamad Firdaus bin Mat Rahim dan Imam Muda Kanan Masjid Muhammadi, Al-Fadhil Ustaz Abdul Halim bin Saari.

Semoga bantuan yang disampaikan ini dapat meringankan sedikit sebanyak beban yang ditanggung oleh mangsa dan kami juga mengharapkan semua mangsa terlibat dapat bersabar dengan ujian yang hadapi ini.

MAIK turut memahami kesukaran yang dihadapi mangsa. Pihak Masjid Muhammadi Kota Bharu turut menyediakan makanan pagi dan juga makan tengah hari kepada mangsa-mangsa yang terlibat. Pihak masjid juga turut menyumbangkan wang tabung mereka untuk membantu mangsa.

Sementara itu, kami turut bertanyakan cerita sebenar yang berlaku pada hari kejadian. Cerita seorang mangsa, Mariah Osman, 65, dia tidak mengetahui punca sebenar kebakaran tersebut berlaku, namun dia bersyukur kerana seorang anak lelakinya yang ‘istimewa’ berusia 25 tahun terselamat dalam kejadian tersebut.

Makcik Mariah memberitahu ketika kejadian dia tiada di rumah kerana keluar menjaja kerepek.

“Anak makcik ni dia lembam sikit. Dia sedar rumah terbakar ketika hendak mandi. Nasib baiklah dia boleh berlari keluar rumah dengan cepat. Kalau tak mak cik tak tahulah apa nak jadi. Kain baju hangus tak apalah. Asal anak makcik sorang ni selamat,” ceritanya.

Kebakaran semalam juga amat dirasai oleh seorang ibu yang mengandung sembilan bulan, dia hanya menunggu waktu untuk bersalin. Dijangkakan akan bersalin pada 23 November ini.

Cerita kak Marisa bin Maktar yang berumur 31 tahun itu. Kesemua kelengkapan baharu untuk bersalin hangus... Tidak dapat diselamatkan. Walaupun sedih dengan kejadian ini namun dia tetap bersyukur kerana dia bersama dua anak berusia 3 dan 6 tahun termasuk suami sempat keluar menyelamatkan diri ketika melihat rumah lain sedang terbakar. Alhamdulillah mereka semua selamat.

Dikesempatan ini MAIK ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pembayar zakat kerana menerusi harta yang diinfakkan inilah menerusi MAIK dapat kami hulurkan demi membantu mereka yang memerlukan.

Kami doakan semoga ALLAH SWT mempermudahkan segala urusan dan diberikan kesihatan yang baik untuk terus melakukan amal ibadat serta beramal jariah.

 

Disediakan Oleh : Rosmiza Binti Kasim

flickr

www.flickr.com

Print   Email

HUBUNGI KAMI

Talian : +609-7481512

Faks: +609-7485512

Emel: maik [at] e-maik [dot] my

Aduan: KLIK DI SINI

BILANGAN PENGUNJUNG

Hari Ini3019
Kelmarin3553
Minggu Ini29301
Bulan Ini101336
Jumlah Pengunjung31556658