faq lokasi aduan peta


BERITA 2021

MAJLIS AGAMA ISLAM & ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN

TERHARU TERIMA KURNIAAN SEGERA YANG TERAMAT MULIA TENGKU MAHKOTA KELANTAN

"Dan ketahuilah, sesungguhnya kemenangan itu beriringan dengan kesabaran. Jalan keluar beriringan dengan kesukaran. Dan sesudah kesulitan pasti akan ada kemudahan." - Hadis Riwayat Tirmidzi.

Sesuai dengan hadis yang diriwayatkan, Bagi Abdul Rahman bin Mohd Nor, 61, meskipun rumah didiaminya bersama empat ahli keluarga yang lain musnah terbakar, namun dia tetap bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa yang berlaku terhadap keluarganya.

Dalam kejadian Jumaat lalu, pada 7.30 malam, rumah yang didiaminya itu tidak berpenghuni kerana dia dan isterinya berada di rumah adiknya, terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya. Kebetulan juga pada hari kejadian, isteri Pak cik Rahman iaitu, Khudaimah binti Awang Kecil, 58, tidak keluar menjual air di Kota Bharu.

Berkongsi ujian hidup yang dialami itu, bapa kepada tiga anak itu memberitahu dia mengetahui rumah didiaminya lebih 20 tahun itu musnah setelah dihubungi salah seorang anaknya.

“Pak cik terus datang ke sini. Bila sampai rumah hanya dapat melihat api menjulang tinggi.

"Tidak dapat selamatkan satu benda pun. Kereta buruk pun hangus. Tak apalah pak cik redha, yang penting nyawa anak isteri pak cik selamat,” luahnya kepada MAIK hari ini.

Pak cik Rahman memberitahu, perasaan sedih memang tidak dapat ‘ditutup’ apabila mengenangkan rumah dua tingkat tempat kami berlindung yang dibina di atas tanah Baitulmal MAIK hangus sekelip mata, lagipun mereka tidak mampu untuk membina rumah sendiri.

Ujarnya, dia sekarang menderita penyakit gout sejak lima tahun lalu. Kaki kanannya tidak gagah untuk melangkah laju. Kini penyakit itu sudah mula menyerang kaki kirinya. Dia terpaksa bergerak menggunakan tongkat. ALLAHUAKBAR.

Buat masa ini dia bersama isteri menumpang berteduh di rumah adiknya. Pak cik Rahman juga berharap ada pihak yang sudi membantu membina rumah untuk keluarganya di tanah dimiliki isterinya di Pasir Puteh.

Perancangan ALLAH tiada siapa yang tahu, walaupun sedih ditimpa ujian namun, kesedihan itu terubat apabila Pak cik Rahman menerima kurniaan segera daripada Yang Teramat Mulia, Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra ibni Almarhum Sultan Ismail Petra.

Kurniaan Tengku Mahkota Kelantan itu yang disampaikan menerusi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), sedikit sebanyak mengurangkan kesusahan yang ditanggung oleh keluarganya yang ditimpa musibah.

Sumbangan wang tunai tersebut disampaikan Al Fadhil Ustaz Ahmad bin Yunoh selaku Imam Tua Masjid Bandar, Masjid D'raja Long Yunus Langgar bersama Pegawai Agihan Zakat MAIK, Al-Fadhil Ustaz Mahamad Azmi bin Zakaria di tapak kebakaran dan turut disertai Imam Tua Masjid Mukim Panji, Ustaz Mohamad bin Noor.

"Junjung kasih (Yang Teramat Mulia) Tengku Mahkota Kelantan, pak cik sangat terharu di atas kurniaan untuk kami sekeluarga. Lega sikit kami.

"Terima kasih juga kepada semua pembayar zakat. Sumbangan daripada duit zakat semua di luar sana ini amat bermakna buat kami," ucap Pak cik Rahman mengakhiri pertemuan.

MAIK mendoakan agar rezeki dan segala urusan pembayar zakat dipermudahkan untuk terus beramal serta membantu insan-insan memerlukan. Sesungguhnya pahala sebagai ganjaran buat insan mulia ini.

Untuk maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan yang disediakan oleh MAIK, orang ramai boleh melayari Portal Rasmi di www.e-maik.my

 

Disediakan Oleh : Rosmiza Binti Kasim

 

 


Print   Email

HUBUNGI KAMI

Talian : +609-7481512

Faks: +609-7485512

Emel: maik [at] e-maik [dot] my

Aduan: KLIK DI SINI

BILANGAN PENGUNJUNG

Hari Ini82
Kelmarin3741
Minggu Ini7549
Bulan Ini80611
Jumlah Pengunjung30903783