faq lokasi aduan peta


BERITA 2021

MAJLIS AGAMA ISLAM & ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN

TUMPAHNYA AIR MATA SEORANG IBU.MAIK BANTU GEMBIRAKAN KELUARGA ADIK SITI HANIM, REALISASIKAN IMPIAN SITI HANIM BELAJAR DI ‘NEGARA ORANG PUTIH’

Untuk berjaya dalam hidup dan mahu membalas jasa ibu serta ayah itu sudah pastinya menjadi impian buat semua orang. Begitu juga buat Siti Hanim Huraini binti Mohamad Rosli, berusia 18 tahun yang tinggal di Lundang dekat Kota Bharu ini.

Dilahirkan dalam keluarga sederhana, Siti Hanim Huraini tidak sesekali mahu menjadikan kekangan dalam pembelajaran terutamanya masalah kewangan menjadi penghalang untuk pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Naim Lilbanat itu terus belajar sehinggalah mencapai impian menuntut ilmu di luar negara atau ‘negara orang putih’ suatu hari nanti.

Siti Hanim Huraini atau mesra disapa Hani itu mempunyai lapan beradik. Ayah pula bekerja sendiri dan tidak mempunyai pendapatan tetap. Jika bekerja adalah gaji, manakala ibunya pula, seorang suri rumah sepenuh masa.

Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, keadaan kesihatan bapanya juga kini tidak mengizinkan, dia tidak lagi mampu mengerah keringat mencari rezeki seperti sedia kala. Disebabkan itu jugalah mendorong anak ketujuh dari lapan beradik ini nekad belajar bersungguh-sungguh demi orang tua dan keluarganya.

ALLAH SWT Maha Mendengar doa anak solehah ini. Alhamdulillah...ALLAH SWT permudahkan impian Siti Hanim Huraini. Alhamdulillah... Berkat harta yang diinfakkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), kami telah membantu merealisasikan impian Siti Hanim Huraini.

Berkat wang zakat yang dibayar menerusi MAIK itulah, kami telah memberikan sinar buat Hani. Hani telah menerima Bantuan Biasiswa Tengku Anis (BTA) MAIK bermula dari 2017 sehinggalah tahun lalu.

Alhamdulillah, Hani mengakui bahawa, bantuan BTA MAIK itulah telah banyak membantu dirinya. Seperti penerima-penerima lain, Hani memberitahu wang bantuan berkenaan digunakan sebaik mungkin untuk membayar yuran asrama dan juga membeli kelengkapan belajar.

“Alhamdulillah biasiswa ini sangat membantu saya. Dengan duit itulah menjadikan saya lagi bersemangat untuk belajar bersungguh-sungguh untuk saya belajar sehingga ke luar negara,” luahnya ketika menerima kunjungan MAIK di rumahnya di sini baru-baru ini.

Alhamdulillah, berkat berkat doa ibu bapanya dan juga usaha tidak putus-putus untuk berjaya, di samping bantuan diberikan MAIK, Hani berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia tahun 2020 dengan mendapat 11A. Hani tidak pernah menjangkakan mendapat 11A, kerana dia hanya mensasarkan untuk menggenggam 9A.

Hani tidak putus-putus mengucapkan terima kasih kepada MAIK, terutamanya pembayar zakat kerana berkat sumbangan itulah telah membantu persekolahannya sehinggalah dia boleh mencapai keputusan cemerlang dan paling penting dapat menggembirakan ‘syurganya’.

Di atas kecemerlangan tersebut, pihak MAIK telah menyampaikan saguhati kecemerlangan berjumlah RM1,000 kepada Hani sebagai tanda penghargaan dan telah disampaikan oleh Pegawai Komunikasi Korporat MAIK, YBrs Encik Muhamad Firdaus bin Mat Rahim di rumahnya.

Unit Tajaan Pendidikan MAIK, turut menyampaikan berita gembira kepada Hani, yang mana MAIK sedia menawarkan penajaan pengajian di bawah Program Perintis Luar Negara. Selain itu, MAIK juga sedia mempertimbangkan untuk menanggung pengajian di peringkat A-Level selama dua tahun di Kolej Yayasan UEM Lembah Beringin sebelum melanjutkan pengajian di peringkat ijazah di luar negara.

Bersyukur dengan berita amat dinanti-nantikan itu, Hani menganggap ini semua menjadi titik tolak kepadanya untuk belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai impian menjadi akauntan.

“Saya amat bersyukur sebab memang dari dahulu lagi menjadi impian saya dan keluarga untuk (melihat) saya belajar di luar negara. Sekarang saya merupakan seorang penerima zakat dan saya akan belajar bersungguh-sungguh, supaya suatu hari nanti biar saya pula yang akan menjadi pembayar zakat. Insyallah,” katanya.

Luahan kegembiraan Hani itu disambut dengan air mata seorang ibu. Tanpa segan, air mata Maznah binti Shamsudin mengalir laju, dek kerana terlalu gembira dengan kejayaan yang dicapai oleh anak perempuannya itu atas bantuan MAIK terutamanya pembayar zakat.

Lantas, sang anak memeluk ‘mama’ dan berjanji untuk tidak mensia-siakan peluang diberikan MAIK untuk berjaya dalam hidup dan seterusnya menjaga kedua-dua orang tuanya sehingga ke akhir hayat.

Kami yang berada di situ juga turut ‘terusik’. Kami dapat merasai kegembiraan mereka ini. Adik-adik di luar sana, ingatlah, biarlah air mata ibu kita tumpah disebabkan kejayaan yang menggembirakan hatinya dan jangan sesekali air mata ‘syurga’ kita itu mengalir dek kerana kekecewaan.

MAIK ingin mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pembayar zakat dan pewakaf kerana terus komitmen bersama-sama MAIK membantu asnaf yang memerlukan.

 

Disediakan Oleh : Rosmiza Binti Kasim

 

 


Print   Email

HUBUNGI KAMI

Talian : +609-7481512

Faks: +609-7485512

Emel: maik [at] e-maik [dot] my

Aduan: KLIK DI SINI

BILANGAN PENGUNJUNG

Hari Ini462
Kelmarin3741
Minggu Ini7929
Bulan Ini80991
Jumlah Pengunjung30904163