MAIK HULUR BANTUAN SEGERA BANTU ABANG DELI TERLANTAR, PERUT SEMAKIN MEMBENGKAK
ALLAHHUAKBAR! Pihak Pentadbiran Masjid Mahmoodi Bachok telah menerima berita sedih apabila dihabarkan salah seorang anak mukimnya, Encik Mat Deli bin Mat Ariffin, diuji dengan penyakit yang menyebabkan kini dia terlantar.
Alhamdulillah, segala pujian bagi ALLAH SWT, setelah mendapat maklum perkara tersebut pihak Pentadbiran Masjid Mahmoodi Bachok diwakili Imam Tua, Al-Fadhil Ustaz Mohd Rosman bin Che Harun dengan segera telah menziarahi dan bertanya khabar keadaan Abang Deli di rumahnya di Kampung Aur, Telong kelmarin.
Ketua keluarga kepada enam anak itu kelihatan uzur menanggung kesakitan bila mana keadaan perutnya yang semakin membengkak akibat menderita penyakit hati. Abang Deli juga tidak dapat bekerja sejak tiga bulan lalu. Sebelum ini kudratnya gagah sebagai seorang tukang rumah.
Empat anaknya sudah bekerja, sementara seorang lagi masih belajar di Tingkatan Empat. Abang Deli bersama isteri yang juga seorang suri rumah tangga sepenuh masa perlu menyara seorang anak lelaki istimewa berusia 19 tahun.
Abang Deli juga tinggal di rumah sendiri yang serba kekurangan, bekelan elektrik juga terpaksa menumpang dari kediaman ibunya.
Buat sementara ini, Abang Deli bergantung harap dengan seorang anaknya juga penjawat awam memandangkan sebelum ini dia tidak menerima sebarang bantuan bulanan.
Bagi meringankan beban ditanggung keluarga Abang Deli, pihak masjid mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah menghulurkan sumbangan sebanyak RM1,500 dan kami turut mengesyorkan bantuan bersesuaian.
Diharapkan dengan sumbangan ini sedikit sebanyak mampu menampung beban dan kos rawatan susulan yang ditanggung oleh Abang Deli.InsyAALLAH.
Kami dimaklumkan hari ini (Rabu) Abang Deli telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan. Sama-sama kita doakan Abang Deli diberikan kesembuhan oleh ALLAH SWT. Amin, Amin Ya Rabbal Alamin.
Terima kasih juga diucapkan kepada semua pembayar-pembayar zakat kepada MAIK.
Semoga ALLAH SWT memberi limpahan pahala dan rezeki kepada mereka yang menginfaqkan hartanya dan menambah keberkatan kepada harta bendanya. Amin, Amin Ya Rabbal Alamin.
#MAIKPrihatin
#MAIK2022
#ZakatMAIK
#menujuredhaAllah