MAIK JOHAN ANUGERAH VIDEO KELANTANKU BERSIH TAHUN 2023
Alhamdulillah, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), sekali lagi mencipta kejayaan setelah dinobatkan sebagai Johan bagi Anugerah Video Kelantanku Bersih Tahun 2023.
Kejayaan tersebut diumumkan pada hari ini, 14 Disember 2023 sempena Majlis Sambutan Hari Kelantanku Bersih Tahun 2023 yang berlangsung di Hotel Perdana, Kota Bharu, Kelantan.
Video berdurasi 4 minit 59 saat tersebut membawa mesej kepada umum, yang mana isu kebersihan tidak akan selesai selagi kita tidak berubah sikap. Selaku Johan, MAIK menerima hadiah sebanyak RM2,500 beserta sijil penghargaan.
Hadiah disampaikan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Panglima Perang, Ustaz Dato’ Haji Mohd Nassuruddin bin Haji Daud, Menteri Besar Kelantan kepada Yang Berusaha Encik Mohd Izwan Shah bin Dato' Haji Mohd Aiseri, Ketua Pegawai Pembangunan MAIK. Turut hadir sama, Yang Berusaha Encik Muhamad Firdaus bin Mat Rahim, Pegawai Komunikasi Korporat MAIK dan Puan Rosmiza binti Kasim, Penolong Pegawai Komunikasi Korporat MAIK.
Tahniah diucapkan kepada semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung mahu pun tidak langsung dalam menjayakan video ini dan semoga mesej murni yang disampaikan ini dapat mendidik masyarakat masa kini khususnya di Negeri Kelantan agar lebih cakna berkenaan keceriaan serta kebersihan sekitar demi kesejahteraan bersama.