PROGRAM SELANGKAH KE PERPUSTAKAAN BERSAMA MURID SRITI MADINATUL ILMI DI PERPUSTAKAAN MAIK
Program Selangkah Ke Perpustakaan bersama murid SRITI Madinatul Ilmi, anjuran Unit Perpustakaan, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah berlangsung dengan meriah dan jayanya bertempat di Perpustakaan MAIK yang terletak di Persimpangan Bucu Ku Som, Kota Bharu.
Program julung-julung kali tersebut telah dilaksanakan pada 11 Jun 2023 yang dimeriahkan dengan penyertaan 69 orang murid dan dibantu oleh 8 guru pengiring. Rombongan tersebut diketuai oleh Ustazah Norlaily binti Ismail selaku Guru Besar SRITI Madinatul Ilmi, Kubang Kerian.
Sebagai pengisian bermanfaat, pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan, antaranya pertandingan kuiz Islam, pertandingan terjemahan teks jawi dan permainan ilmiah seperti sahiba, catur, congkak dan lain-lain.
Program Selangkah Ke Perpustakaan ini adalah salah satu inisiatif bagi memperkenalkan Perpustakaan MAIK yang sebenarnya terbuka kepada semua lapisan masyarakat.
Selain itu, ia dianjurkan bagi menarik minat golongan muda untuk mengenali sekaligus mendekati gedung-gedung ilmu yang berada di sekitar negeri Kelantan, khususnya Perpustakaan MAIK.
#PerpustakaanMAIK
#MAIK2023