faq lokasi aduan peta


BERITA 2021

MAJLIS AGAMA ISLAM & ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN

MAIK BANTU LEGAKAN KAK ROSMA TUJUH BERANAK

Tiada siapa menduga, kehidupan sediakala yang berlalu dalam suasana tenang, akhirnya tiba-tiba diuji dengan takdir ALLAH SWT Yang Maha Megetahui segala-galanya. Itulah takdir hidup yang dilalui Rosma binti Mat Ail, 47 yang tinggal di Kampung Tok Dosoh, Mukim Paya Mengkuang, Bachok di sini apabila suaminya, Abdul Wahid bin Noor kini terlantar akibat angin ahmar sejak April lalu.

Berkongsi kesusahan yang dialaminya itu, Kak Rosma memberitahu semenjak tunjang keluarga diuji dengan sakit, dirinya juga tidak dapat mencari rezeki kerana perlu menjaga dan merawat suaminya sepenuh masa.

Kak Rosma juga masih perlu menanggung empat orang anak yang bersekolah dan seorang anak berusia 5 tahun. Buat masa ini sang ibu hanya bergantung harap dengan bantuan daripada keluarga anak sulungnya.

Dia tidak boleh meminta lebih, kerana anaknya itu berkerja sebagai buruh dan turut mempunyai tanggungan sendiri yang perlu disara. Semoga ALLAH SWT juga mempermudahkan urusan anak sulungnya demi membantu ibu dan ayahnya.

Alhamdulillah, Segala Pujian Bagi ALLAH. Setelah kisah hidup Kak Rosma ini sampai ke pengetahuan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), pihak Pentadbiran Masjid Mahmoodi Bachok, Imam Tua, Al-Fadhil Ustaz Rosman bin Che Harun bersama Imam Tua Masjid Mukim Paya Mengkuang, Al-Fadhil Ustaz Ahmad Tajuddin bin Ahmad Termizi telah segera menyantuni keluarga ini.

Mewakili MAIK, Al-Fadhil Ustaz Rosman telah menyampaikan bantuan wang tunai untuk rawatan dan perubatan abang Abdul Wahid. Kami juga turut memberikan kata-kata semangat supaya sang isteri terus tabah menjaga suaminya yang terlantar itu.

Kami juga mengharapkan dengan sumbangan ini sedikit sebanyak mampu meringankan keperitan yang ditanggung oleh keluarga Encik Abdul Wahid agar segala keperluannya sebagai pesakit terlantar dapat disediakan. Insya ALLAH.

Terima kasih juga diucapkan kepada semua pembayar-pembayar zakat kepada MAIK. Kami doakan semoga ALLAH SWT memberi limpahan pahala dan rezeki kepada mereka yang menginfaqkan hartanya dan menambah keberkatan kepada harta bendanya. Amin Ya Rabbal Alamin.

 

Disediakan Oleh : Rosmiza Binti Kasim

 

 


Cetak   Emel

HUBUNGI KAMI

Talian : +609-7481512

Faks: +609-7485512

Emel: maik [at] e-maik [dot] my

Aduan: KLIK DI SINI

BILANGAN PENGUNJUNG

Hari Ini2976
Kelmarin2407
Minggu Ini21867
Bulan Ini2976
Jumlah Pengunjung29307593