faq lokasi aduan peta


BERITA 2022

MAJLIS AGAMA ISLAM & ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN

WANG ZAKAT MAIK BANTU SELESAIKAN KEBUNTUAN SUAMI JAGA ISTERI STROK BERSAMA 8 ANAK

Dalam suasana hujan renyai hari ini, pihak kami dari Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah meredah titisan hujan menyantuni sepasang suami isteri bersama 8 anaknya tinggal di Kampung Kedemit Wakaf Bharu, Tumpat.

Kunjungan kami kali ini singgah bertanya khabar Che Rozila Azliza Mat Ali, 38, kini menderita akibat strok sebelah kiri badannya sejak sebulan lalu. Dia dijaga oleh suaminya Mustapa Mohd Yusof, berusia 46 tahun.

YA ALLAH. Kunjungan kami ‘disambut’ deraian air mata. Bunyi hujan di luar rumah sudah tidak kedengaran. Emosi kami tertumpu kepada Kak Zila dan Abang Mustapa yang tanpa berselindung menitiskan air mata kesyukuran.

Jiwa mana yang tidak tersentuh, tatkala diri diuji dengan lumpuh sebelah badan. Sang suami pula buntu fikirkan mengenai duit disebabkan tidak dapat bekerja kerana menjaga sang isteri sepenuh masa dan ketika dalam kebuntuan ini, kami dari MAIK datang menghulurkan bantuan.

“Kami bersyukur terima bantuan MAIK… Duit zakat ini sangat bermakna buat kami sekeluarga… Alhamdulillah hari ini duit zakat sampai. Kami memang betul-betul perlukan bantuan,” luah pasangan suami isteri ini dengan nada sebak diselangi dengan tangisan.

Alhamdulillah, hari ini MAIK tampil menyampaikan amanah para pembayar zakat. Kami sampaikan bantuan zakat berupa wang tunai berjumlah RM3,000 dan bakul makanan kepada keluarga ini.

Bukan itu sahaja, kami juga turut menghulurkan RM300 kepada abang Mustapa. Duit ini adalah untuk membayar baki hutang yang digunakan untuk membeli kerusi roda dengan penduduk kampung.

Hari ini, MAIK diwakili Al-Fadhil Ustaz Fathul Hakim bin Kamarul Zaman, Imam Tua Masjid Ismaili Bandar Tumpat bersama YBrs. Encik Muhamad Firdaus bin Mat Rahim, Pegawai Komunikasi Korporat MAIK tampil menghulurkan bantuan.

Abang Mustapa dan Kak Zila tidak putus-putus mengucapkan terima kasih kepada pembayar zakat, kerana dengan wang zakat inilah mereka akan gunakan untuk membeli lampin pakai buang.

Sebelum ini sang isteri perlu diangkat untuk ke tandas kerana tidak mampu membeli lampin. Duit zakat ini juga akan digunakan sebaik mungkin untuk menjelaskan tunggakan bil elektrik dan air.

Wang zakat ini jugalah akan digunakan untuk perbelanjaan lima anak yang masih belajar. Sebelum ini, ketika kak Zila masih sihat, dia mengambil upah membersihkan rumah orang untuk membantu menampung pendapatan sang suami menyara anak-anak.

Buat sementara waktu ini, tiga anaknya yang bekerja kampunglah yang sedikit sebanyak membantu keluarga tetapi masih tidak mencukupi kerana keluarga mereka besar.

Pasangan suami isteri ini juga mengucapkan terima kasih kepada penduduk kampung dan pihak-pihak yang selama ini sering membantu mereka ketika dalam kesusahan termasuklah menyediakan rumah tempat mereka berlindung.

MAIK juga akan mempertimbangkan bantuan bersesuaian untuk membantu keluarga tersebut.

“Terima kasih Para Pembayar Zakat. Anda Hero Asnaf”

#MAIK2022

#maikprihatin

 flickr

www.flickr.com

 


Cetak   Emel

HUBUNGI KAMI

Talian : +609-7481512

Faks: +609-7485512

Emel: maik [at] e-maik [dot] my

Aduan: KLIK DI SINI

BILANGAN PENGUNJUNG

Hari Ini216
Kelmarin3906
Minggu Ini11250
Bulan Ini83285
Jumlah Pengunjung31538607

A- A A+