faq lokasi aduan peta


BERITA 2023

MAJLIS AGAMA ISLAM & ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN

AIR MATA IBU…

Sekitar jam 9 malam kelmarin kami terima satu aduan menerusi WhatsApp. Aduan berhubung kisah seorang ibu menghidap kencing manis, darah tinggi, terpaksa berhenti kerja demi menjaga anak terlantar akibat kemalangan jalan raya selepas menghantar si ibu bekerja. Hari ini kami terus ke rumah mereka di Lundang, Kota Bharu.

Kunjungan kami diketuai Ikhwan bin Mat Yasin, Pegawai Agihan Zakat MAIK dan Muhamad Firdaus bin Mat Rahim, Pegawai Komunikasi Korporat MAIK disambut dengan senyuman. Si ibu, Norhazliza binti Ismail berusia 58 tahun ini membawa kami melihat anak lelakinya, Mohd Faizylan bin Mohd Razi, 35 yang sudah terlantar sejak 2 bulan lalu.

Cerita si ibu, tragedi 4 Mei lalu menyebabkan Mohd Faizylan atau mesra dipanggil Abe diuruskan seperti seorang bayi. Diberikan susu, disuapkan nasi air, dipakaikan lampin, dibersihkan badan oleh si ibu. Dia tidak boleh uruskan diri sendiri. Berlaku pendarahan di otak, tulang rusuk patah, patah tangan kiri. Dua kali koma.

Disebabkan itu jugalah, si ibu yang bekerja sebagai pembantu kedai makan terpaksa berhenti kerja. Bukan ibu saja yang berkorban, adik perempuan Abe juga berhenti kerja. Dia membantu ibunya, kerana ibunya pun bukannya sihat sangat untuk berjaga malam menjaga si abang. Jadi, pendapatan keluarga pun semakin berkurangan.

Si ibu juga memberitahu, dia bukanlah dari keluarga berada. Ketika mahu membiayai kos pembedahan pun mereka hadapi masalah duit. Nak belikan katil khas pun adik-beradik dan saudara-mara tolong kumpulkan duit. Nak belikan mesin sedut kahak pun susah. Apatah lagi mereka perlu sediakan lampin dan susu, sekitar RM800 sebulan.

Tapi apapun yang berlaku, si ibu memberitahu dia sanggup lakukan apa sahaja, yang penting anak lelakinya ini kembali sihat. Biarlah si ibu sakit asalkan dia dapat menjaga Abe dengan baik. Katanya, dia juga akan pastikan susu Abe cukup. Boleh minum setiap 4 jam sehari. YA ALLAH betapa si ibu dan keluarga ini perlukan duit untuk menjaga Abe. Kasih ibu tiada tandingan.... Di saat terlantar si ibu tidak tinggalkan anaknya.

Si ibu juga berkongsi kepada kami, pihak hospital juga memaklumkan peluang untuk Abe sedar seperti biasa amat tipis.Tapi dengan izin ALLAH SWT, si ibu menganggap, satu keajaiban berlaku, apabila Abe sedar seperti biasa meskipun lehernya terpaksa ditebuk.

Meskipun kecederaan Abe sangat kritikal. Bagi si ibu, selain berkat doanya sebagai ibu, ini juga adalah ganjaran atas perbuatan baik anaknya sebelum ini. Ringan tulang, hormat ibu dan arwah bapanya. Sering membantu penduduk. Disuruh menggali kuburpun dia galikan, disuruh bersih kawasan pun Abe lakukan.

Keluarga ini wajib kami bantu sebagaimana amanah pembayar zakat kami. Hari ini kami serahkan RM3,000 untuk bantuan perubatan. Sampul surat putih disambut dengan ucapan Alhamdulillah dan tawa kecil tanda sangat gembira. Bukan satu berita gembira sahaja yang kami sampaikan.

Pembayar zakat kami mahukan biarlah Kak Liza ini merasai kegembiraan besar dengan kedatangan kami.

Bukan itu sahaja yang kami nak sampaikan hari ini. Kami telah juga memaklumkan MAIK turut meluluskan Bantuan Bulanan Fakir Miskin sebanyak RM1,000 sebulan untuk Kak Liza uruskan anak bertuah ini. Belum sempat kami menghabiskan kata-kata. Belum sempat kami hulurkan duit. Kak Liza terus menutup mukanya. Tindakan spontan itu bukan kerana dia malu  menjadi penerima zakat. Tapi dia menangis, dia menyapu air matanya sambil mengucapkan "terima kasih banyak-banyak kepada pembayar zakat".

Air mata si ibu gugur kerana terlalu bersyukur. Bersyukur dengan adanya duit zakat ini, dia tidak perlu rungsing lagi untuk fikirkan duit setiap bulan. Duit membeli lampin dan susu Abe. Betapa air mata ikhlas dari seorang penerima zakat kami gugur, sebagai tanda dia amat menanti-nantikan bantuan kami. Kami yang berada di situ turut sebak, meskipun kami tersenyum kepada Kak Liza tapi sebenarnya kami tersentuh.

Tidak terhenti di situ sahaja. Sekali lagi perasan kami tersentuh. Apabila Abe yang sebelum ini hanya menggerakkan matanya sepanjang kami berbual tiba-tiba membuka matanya melihat kami.

Ada bunyi pada hidungnya seolah-olah dapat merasai air mata kegembiraan si ibu. Beberapa ketika selepas itu, kami melihat air mata Abe gugur di ekor matanya. Air mata Abe gugur ketika si ibu sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada MAIK dan pembayar zakat. Air mata tanda terima kasih kepada kami daripada Abe.

Ketika itu jugalah ada dalam kalangan kami yang menyapu air mata secara bersembunyi. Kami tersentuh kerana betapa hebatnya hikmah wang zakat ini dapat membantu mereka yang amat memerlukan. Air mata kami jatuh kerana betapa gembiranya kami dapat menjalankan amanah para pembayar zakat kami.

Hanya ALLAH SWT sahaja yang mampu membalas jasa kalian semua para pembayar zakat.

Terima Kasih Pembayar Zakat. Semoga ALLAH SWT kurniakan berlipat kali ganda ganjaran pahala buat kalian. Amin... Amin.. Amin Ya Rabbal Alamin.

#ZAKATMAIK

#MAIK2023

#MAIKCaknoSengoti

 

 

flickr

www.flickr.com

 

 

 


Cetak   Emel

HUBUNGI KAMI

Talian : +609-7481512

Faks: +609-7485512

Emel: maik [at] e-maik [dot] my

Aduan: KLIK DI SINI

BILANGAN PENGUNJUNG

Hari Ini1459
Kelmarin3207
Minggu Ini17630
Bulan Ini17630
Jumlah Pengunjung29322247

A- A A+