faq lokasi aduan peta


BERITA 2023

MAJLIS AGAMA ISLAM & ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN

AKU TERPAKSA DIDUKUNG…

Semalam kami tulis kisah adik Adam tabah menjaga ibu dan ayah sakit di Kuala Krai. Hari ini pula kami kongsikan episod hiba dilalui seorang ibu muda berusia 37 tahun yang diserang angin ahmar sejak 6 bulan lalu. Kisah duka suami isteri dan tiga anak tinggal di rumah yang sangat uzur di Kampung Cherang Melintang, Tumpat.

Si suami memberitahu, dia perlu berkorban. Walaupun terpaksa ulang-alik dari tempat kerja ke rumah, dia redha. Dia perlu menjaga pekerjaannya. Dengan duit gaji bersih RM1,100 inilah digunakan untuk beli susu dan ubat isteri, belanja sekolah dan makan anak-anak.

Kos perbelanjaan bulanan untuk isterinya juga tinggi. Perlu beli lampin pakai buang. Harga satu tin kecil susu khas pun sudah mencecah RM100. Tiga tin susu mampu bertahan untuk seminggu sahaja. 

Disebabkan kekangan kewangan, Mohd Riduan pernah menggantikan susu khas dengan air lain dan belikan susu yang lebih murah. Namun, apabila diberikan susu yang murah, keadaan kesihatan isterinya berubah sedikit lemah. Apakan daya. Dia terpaksa kerana duitnya yang tidak mencukupi.

Ceritanya juga, ada ketikanya dia terputus bekalan makanan. Kehabisan duit. Anak-anak pun katanya, pernah ke sekolah tanpa membawa wang saku. Katanya, itu semua tidak mengapa. Asalkan dia dapat menjaga isteri tercintanya sepenuh hati.

Mendengar luahan ini, kami juga sebak seketika. Terlintas di fikiran kami betapa bersyukurnya Maizatul, di sebalik ujian tidak mampu menguruskan diri sendiri,  tidak dapat menjalankan tanggungjawab kepada suami dan anak-anak, dia dikurniakan oleh ALLAH SWT seorang suami yang setia menjaganya di saat dia bukan lagi seperti dulu.

Rupanya bukan kami sahaja yang tersentuh dengan luahan si suami. Dengan percakapan yang pelat akibat angin ahmar itu, Maizatul mengucapkan terima kasih kepada suaminya yang setia menjaganya. Setiap hari mendukungnya. Matanya mula berkaca dan air matanya gugur ketika mengungkapkan yang dia pernah terlintas suaminya akan meninggalkan dia. "Terima kasih banyak sebab jaga saya," ungkapnya. Lalu air mata disapu si suami.

Berbalik kepada cerita rumahnya yang usang tadi. Si suami dengan jujur memberitahu kami bahawa dia sudah membina rumah baharu pada tahun 2019 berhampiran rumahnya yang usang. Dia gunakan duit KWSP sebanyak RM20 ribu. Ada juga bantuan pihak lain. Tapi setelah isterinya jatuh sakit, rumahnya terbengkalai. Dia perlu utamakan perbelanjaan perubatan isterinya. Dia bina rumah sebab rumah sekarang sangat uzur.

Beban ditanggung keluarga ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Sebagai badan induk yang menguruskan zakat di Kelantan, kami wajib menolong mereka. Hari ini, Yang Berusaha Encik Ikhwan bin Mat Yasin, Pegawai Agihan Zakat MAIK bukan sahaja sampaikan khabar gembira tetapi paling penting telah menunaikan amanah para pembayar zakat MAIK. Kami sampaikan bantuan segera untuk perubatan sebanyak RM3,000. Berikan bakul makanan. Untuk meringankan bebanan bulanan keluarga ini pula, kami luluskan Bantuan Bulanan Fakir Miskin sebanyak RM1,000 sebulan.

Bukan itu sahaja, kami betul-betul membantu keluarga ini. Dua orang anak yang bersekolah dicadangkan untuk menerima Bantuan Biasiswa Tengku Anis untuk perbelanjaan persekolahan mereka.

Ketika kami memaklumkan kesemua sumbangan ini dikhaskan untuk dia. Si suami tergamam seketika. Sampul yang dihulur tidak bersambut. Rupa-rupanya dia tidak menyangka ada pihak akan menolongnya sebanyak itu. Katanya mujurlah ada duit zakat MAIK. Sangat membantu keluarganya yang amat memerlukan. Apa yang disampaikan oleh kami pada hari ini adalah sebagaimana hasrat para pembayar zakat MAIK yang menginginkan agar golongan asnaf yang memerlukan di negeri Kelantan terbela nasibnya.

“Sesungguhnya Anda Para Pembayar Zakat, Andalah Sebenarnya Hero Asnaf”

#ZakatMAIK

#MAIK2023

#MAIKCaknoSengoti

 

 

flickr

www.flickr.com

 

 

 


Cetak   Emel

HUBUNGI KAMI

Talian : +609-7481512

Faks: +609-7485512

Emel: maik [at] e-maik [dot] my

Aduan: KLIK DI SINI

BILANGAN PENGUNJUNG

Hari Ini138
Kelmarin3491
Minggu Ini19800
Bulan Ini19800
Jumlah Pengunjung29324417

A- A A+