ISTERI HIDAP STROK GIGIH CARI DUIT SARA SUAMI SAKIT
Beberapa hari lalu kami didatangi ibu muda. Dia mengadu. Mengadu katil yang kami wakafkan untuk suaminya rosak. Ada skru patah. Dia bimbang dikenakan bayaran. Jangan bimbang kakak. Kami tak susahkan orang yang terima barangan yang diwakafkan oleh MAIK. Kami faham kesusahan kakak. Dia datang berterus-terang dengan kami. Dia bukannya banyak duit nak bayar. Dia susah.
Dia ceritakan, kehidupannya susah setelah si suami ditimpa kemalangan. Bertitik-tolak daripada itulah kami ingin mengetahui cerita sebenar kisah mereka dan kami akan bantu keluarga ini. Pembayar zakat kami nak sangat membantu keluarga ini.
Khamis lalu, kami diwakili Ikhwan bin Mat Yasin, Pegawai Agihan Zakat MAIK bersama Ustaz Wan Mohd Fikri bin Wan Sani, Pegawai Tadbir Agihan Zakat MAIK telah menyantuni keluarga ini di rumah sewa mereka di Kampung Beris Lalang, Bachok.
Sebelum ini kehidupan mereka 6 beranak dilalui seperti biasa. Tidak begitu mewah tapi semuanya cukup dengan rezeki ALLAH SWT. Namun segalanya berubah dengan ketentuan ALLAH SWT. Mereka tidak pernah terlintas, bahawa hari ni mereka diuji sebegini berat. Si suami sakit. Diuji dengan anak tidak begitu sihat. Si isteri juga diserang strok. Tapi itulah hakikatnya ditakdirkan oleh ALLAH SWT yang maha mengkehendaki sesuatu itu berlaku.
Hari ini kami nak kongsikan kisah kegigihan Nor Hasmida Rohadilah binti Abdullah, berumur 33 tahun. Kisah seorang isteri, juga ibu kepada 4 anak. Anak 11 tahun, 9 tahun, 6 tahun dan 3 bulan. Si ibu juga menghidap strok mini. Sebelah kiri badannya sering kejang. Meskipun dia juga sakit tapi dia menggalas tanggungjawab menjadi ketua keluarga sejak 2017.
Dia memikul tugas besar setelah si suami ditimpa kemalangan di tempat kerja. Sebelum ini suami bekerja sebagai juruteknik makmal di Johor. Setelah itu keluarga ini pulang ke Kelantan. Tinggal di sini untuk teruskan rawatan suami di HUSM. Tiga kali suami dibedah. Saraf suami juga bermasalah, tulang rapuh, sendi paha kanan dan kiri hancur. Hilang upaya kekal. Kena makan 11 biji sehari ubat. Bertahan dengan ubat sakit. Ubat sakit digunakan pesakit kanser tahap 4. Memang tidak boleh bekerjalah.
Macam mana dia nak berkerja, semasa berbual dengan kami pun, banyak kali dia meminta maaf, dia kena betulkan kedudukan. Bersandar pada bantal pun kedua-dua tangan menjadi pengimbang badan. Dia takut terjatuh. Dia trauma sebab dia pernah beberapa kali jatuh dengan sendiri. Teramat sakit katanya.
Perbelanjaan keluarga bergantung pada duit Perkeso. Tapi diakui ia tidak mencukupi. Bagaimana nak cukup, selain kos ulang-alik si suami ke hospital. Ibu muda ini juga kena fikirkan nak bayar rumah sewa RM380 sebulan.
Kos rawatan untuk anak sulung berusia 11 tahun yang menghidap asma kronik. Anak ketiga pun asma. Ketika kunjungan kami juga, tiga anaknya tidak bersekolah. Diserang lelah. Si bongsu pula berusia 3 tahun alami kekurangan oksigen, katanya jangkitan kuman pada paru-paru. ALLAHUAKBAR besar dugaan hidup mereka.
Mereka tidak mengalah dengan ujian hidup. Itulah sifat yang perlu ada dalam hidup. Berikhtiar dan berusaha untuk mengubah hidup. Jangan biarkan bebanan yang dialami terus membelenggu kehidupan sehingga kita merasakan sakit, tiada duit sebagai pengakhiran dalam episod kehidupan kita.
Kami puji semangat kental dan kegigihan si ibu, katanya ketika mana dia diuji, dia tidak berserah sepenuhnya. Meskipun kaki kirinya tidak begitu gagah. Jalan terhincut-hincut, dia tetap keluar mencari rezeki. Dia sanggup mengambil upah mencabut ubi. Upah 20 sen satu kilo. Tiga hari dapat RM16. Demi keluarga, si ibu bukan sahaja mencari rezeki dia juga menggali ilmu. Dia tidak malu. Setiap kali ada pameran pertanian sekitar Bachok, dia ke sana. Dia nakkan ilmu. Sekarang pun dia ambil upah semai benih pokok labu. Bolehlah upah RM7 satu bekas.
Begitu juga si suami. Meskipun dia terlantar, dia gunakan kepandaiannya untuk menjadi dropship tudung dan makanan sejuk beku. Tapi tak berapa menjadi. Tak mengapa rezeki ALLAH SWT itu luas. Paling penting usaha. Luahnya. Hasil sedikit inilah dia boleh guna untuk belanja anak sekolah. Mereka tidak mahu anak-anak menjadi mangsa keadaan. Anak-anak kena ke sekolah. Kena tuntut ilmu. Ilmulah yang akan membantu mengubah masa depan mereka suatu hari nanti. Meskipun masing-masing sakit. Tanggungjawab untuk anak-anak tidak sesekali diabaikan.
Kisah mereka ini mendapat perhatian kami. Khamis lalu kami sampaikan Bantuan Am berjumlah RM3,000 dan bukan itu sahaja, hasil infaq para pembayar zakat MAIK juga telah ringankan beban keluarga ini apabila bayaran rumah sewa mereka akan dibiayai oleh kami. Mereka akan terima bantuan rumah sewa sebanyak RM250 sebulan. Alhamdulilah. Semoga bantuan ini mampu membantu meringankan keluh kesah mereka untuk meneruskan hidup.
Terima Kasih Pembayar Zakat. Andalah Hero Sebenar Asnaf.