faq lokasi aduan peta


BERITA 2023

MAJLIS AGAMA ISLAM & ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN

MAMA...MANA BAJU RAYA ADIK?

“Mama….mana baju raya adik?”

Pertanyaan sebegini mungkin bagi kita sudah biasa apatah lagi tinggal beberapa hari sahaja untuk meraikan Aidilfitri. Bagaimanapun, jika anak berusia lima tahun bertanyakan sebegitu kepada ibunya dan ketika itu kita baru sahaja kehilangan suami tercinta. Satu-satunya insan tempat bergantung selama ini telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Apa yang mungkin kita rasakan?

Mengenangkan ungkapan anak bongsunya itulah. Mama… mana baju raya adik? Air mata Puan Nor Zamira binti Mat Hussin berumur 38 tahun ini, laju gugur membasahi pipi ketika berbicara dengan kru rakaman Unit Komunikasi Korporat MAIK untuk segmen khas Menjelang Aidilfitri-MAIK Cakno Sengoti di Bachok hari ini.

Si kecil tidak mengerti gundah hati sang ibu, tapi baginya apabila tibanya hari raya mesti nak serba baharu dan cantik sama macam kawan-kawan lain.

Ibu enam anak ini juga memaklumkan dia buntu fikirkan persiapan raya anak-anak. Duit ada tapi cukup untuk belanja harian. Hidupnya juga menumpang ihsan keluarga mertua dan adik beradik.

Ketika arwah suami masih ada, mereka keluar berniaga kuih cakoi di tepi jalan. Tapi sekarang tidak lagi.

Kami memahami perasaan Puan Zamira. Sama seperti hasrat arwah suaminya. Inginkan anak-anak gembira di Hari Raya Aidilfitri nanti, meskipun raya pertama kali ini, tanpa bapa tersayang di sisi.

Alhamdulillah pada hari ini, MAIK tunaikan hasrat Puan Zamira. MAIK diwakili Yang Berusaha Encik Muhamad Firdaus bin Mat Rahim, Pegawai Komunikasi Korporat MAIK dan Yang Berusaha Encik Mohd Asri bin Che Ali wakil dari Unit Agihan Zakat MAIK membawa anak-anak Puan Zamira, ditemani ibu saudara mereka membeli kelengkapan raya di sebuah Pasar raya di bandar Bachok. Mereka pilih pakaian mana yang mereka sukai. Masing-masing memilih pakaian kesukaan mereka dengan penuh perasaan teruja. Anak lelaki Puan Zamira sempat bertanya kepada kami, “Abe, cantik kan baju ni?” Kami sebak. Kami bayarkan semua sekali.

Apa yang kami belanjakan hari ini adalah hasil daripada harta yang diinfakkan oleh para pembayar zakat menerusi MAIK. Kami realisasikan hasrat besar para pembayar zakat untuk memberikan kegembiraan kepada anak-anak asnaf yang memerlukan. Ya ALLAH. Gandakan keberkatan para pembayar zakat ini.

Pagi tadi juga, hati kami tersentuh. Belum sempat enjin van MAIK dimatikan. Sebaik pintu dibukakan si kakak, si bongsu berlari masuk ke dalam rumah sambil berteriak “Mama…mama adik dapat baju cantik”. ALLAHUAKBAR. Betapa si anak ini menginginkan baju baru.

Pada hari ini juga, kami sampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM4,000 dan bakul makanan. MAIK juga akan mempertimbangkan Biasiswa Tengku Anis untuk anak-anak Puan Zamira.

Sang ibu tidak putus-putus mengucapkan terima kasih kepada pembayar zakat MAIK. Katanya jika tiada bantuan zakat, tidak tahulah macam mana persiapan Aidilfitri anak-anak dan nasib mereka selepas ini.

Terima Kasih Pembayar Zakat. Anda Hero Sebenar Asnaf.

#MAIKCaknoSengoti

#MAIK2023

#ZakatMAIK

 flickr

www.flickr.com

 

 

 


Cetak   Emel

HUBUNGI KAMI

Talian : +609-7481512

Faks: +609-7485512

Emel: maik [at] e-maik [dot] my

Aduan: KLIK DI SINI

BILANGAN PENGUNJUNG

Hari Ini1393
Kelmarin4019
Minggu Ini25074
Bulan Ini25074
Jumlah Pengunjung29329691

A- A A+