faq lokasi aduan peta


BERITA 2023

MAJLIS AGAMA ISLAM & ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN

“TAK RUGI SIKIT PUN, WALAU DAH SETAHUN TAK SEKOLAH”

“Tak rugi pun, walau dah setahun saya tak sekolah.” Itu luahan seorang anak lelaki berumur 16 tahun ketika kami temuinya di Pasir Tumboh, Kota Bharu hari ini.

Apabila membaca ayat pertama yang ditulis ini, jangan pula kita terlalu cepat membuat andaian negatif, tapi inilah suara hati ikhlas anak sulong dari dua beradik. Si adik berumur 10 tahun. Dia bersekolah.

Ceritanya begini. Bukan si abang sesuka hati tidak mahu bersekolah. Tapi Mohamad Qutbi bin Johari ini perlu melupakan seketika tentang pengajiannya. Segalanya demi dua insan tersayang. Ibu dan ayahnya.

Selama setahun dia tidak bersekolah. Selama itulah, dia kena menjaga ibunya berusia 50 tahun diserang strok. Lumpuh paras pinggang ke bawah. Pada masa sama, si ayah juga terlantar sejak sekian lama akibat komplikasi kegagalan buah pinggang. YA ALLAH betapa beratnya ujian si abang.

Adik Qutbi kena uruskan ibunya sepenuh masa. Ayah pun sama. Qutbi tidak sanggup biarkan ibu dan ayah terlantar berdua di rumah. Ucapnya, menjaga orang tuanya lebih utamanya baginya. Meskipun dia tahu pelajaran itu penting, tapi dalam keadaan sebegitu, tidak sekalipun terlintas di fikirannya, menangguhkan persekolahan sesuatu yang merugikan buatnya. Katanya, Insya-ALLAH ada pengakhiran terbaik buatnya.

Bayangkan jika kita yang mengalami ujian berat sebegini. Menjaga ayah dan ibu terlantar serentak. Ketika itu jugalah kita diuji dengan masalah duit. Apa yang kita akan lakukan? ALLAHUAKBAR.

Ketika sihat, si ibu menyara keluarga dengan mengambil upah sebagai tukang urut. Bolehlah dia mencari rezeki. Tidak cukup duit ada yang membantu sedikit sebanyak. Tapi berapalah sangat. Mereka pun ada tanggungan juga.

ALLAH SWT Maha Mengetahui segala keperitan hidup dilalui mereka empat beranak.

Ditakdirkan ALLAH SWT, si ayah pergi terlebih dahulu meninggalkan mereka. Dua minggu lepas si ayah telah tiada. Al-Fatihah buat arwah.

Kisah adik Qutbi ini sampai kepada kami. Hari ini pihak MAIK diwakili Ikhwan bin Mat Yasin, Pegawai Agihan Zakat MAIK dan Muhamad Firdaus bin Mat Rahim, Pegawai Komunikasi Korporat MAIK bersama Ustaz Wan Mohd Fikri bin Wan Sani, Pegawai Tadbir Agihan Zakat MAIK telah menyantuni keluarga ini di rumah sewa mereka.

Ketika kami sampai, si ibu terbaring. Si ibu ceritakan betapa kesempitan hidup yang dilalui mereka. Kesusahan dialami apabila ketua keluarga terlantar, dia juga terlantar dan dua anaknya masih belum mengenal erti dunia sebenar. Terpaksa pula tidak bersekolah. Sedangkan jauh di lubuk hati seorang ibu, dia mahu melihat anaknya berjaya.

Si ibu tidak bercakap banyak bila mengenangkan pengorbanan anaknya. Bukan itu sahaja, si ibu juga sedih kerana fikirkan tentang duit belanja. Dia memberitahu kami duit tinggal RM300.00 sahaja. Di mana nak cari duit? Siapa nak bagi duit? Nak kena beli lampin. Nak beli ubat. Ketika itu jugalah air mata si ibu mengalir sambil terbaring.

Ketika itu adik Qutbi yang berada di hujung kaki ibunya tunduk. Dia cuba untuk sembunyikan kesedihan di depan ibunya. Walaupun dia tunduk sambil tersenyum, tapi matanya kemerahan. Kami tahu dia juga turut sedih.

Luahan itu, kami sambut. Kami balas dengan kata-kata yang mampu meredakan keresahan mereka 3 beranak. “Berterima kasihlah kepada pembayar zakat, bukan kepada MAIK. Berkat harta diinfakkan para pembayar zakat, hari ini kami akan serahkan Bantuan Am segera berjumlah RM3,000.00 untuk Kak Da. Alhamdulillah, untuk belanja juga Kak Da tak payah bimbang, pembayar zakat kami telah membantu Kak Da. Kak Da juga bakal menerima Bantuan Bulanan Fakir Miskin MAIK sebanyak RM1,000.00 sebulan untuk menampung kos ubat-ubatan dan sara hidup. Nak bayar rumah sewa pun dah ringan, sebab pembayar zakat kami tolong bayarkan RM250 sebulan.” 

Bukan itu sahaja yang pembayar zakat kami bantu Kak Da. Hari ini kami juga maklumkan Qutbi tidak perlu bimbang mengenai belanja sekolah. Ganjaran diterima adik Qutbi kerana ikhlas menjaga orang tuanya. Pembayar zakat kami juga tanggung. Qutbi dan adiknya akan menerima Biasiswa Tengku Anis MAIK. Kami dimaklumkan Qutbi akan mula bersekolah minggu hadapan.

Apa yang kami sampaikan itu, disambut dengan ucapan Alhamdulillah dan terima kasih tidak terhingga buat pembayar zakat kami. Kak Da memberitahu hanya ALLAH SWT sahaja yang mampu membalas jasa pembayar zakat MAIK yang telah membantu mereka semasa kesempitan sebegini.

Berbuat baik kepada ibu bapa, tiada satu perkara pun yang merugikan kita. ALLAH SWT menjanjikan ganjaran pembalasan terbaik, bukan sahaja di akhirat kelak, tapi di dunia lagi ALLAH SWT telah memberikan habuannya. ALLAH SWT memperluaskan kesempitan hidup, ALLAH SWT jua telah memberikan berlipat kali ganda rezeki yang berkat.

Jadi bagi anak-anak yang masih mempunyai ibu dan ayah gembirakan mereka, berbaktilah kepada mereka, sebelum satu-satunya ‘jambatan’ doa paling makbul di sisi ALLAH SWT kita pergi buat selamanya. Sesalan kemudian hari tidak berguna lagi.

Terima kasih pembayar zakat. Anda Hero Sebenar Asnaf.

#MAIKCaknoSengoti

#MAIK2023

#ZAKATMAIK

flickr

www.flickr.com

 

 

 


Cetak   Emel

HUBUNGI KAMI

Talian : +609-7481512

Faks: +609-7485512

Emel: maik [at] e-maik [dot] my

Aduan: KLIK DI SINI

BILANGAN PENGUNJUNG

Hari Ini1409
Kelmarin3129
Minggu Ini18897
Bulan Ini91959
Jumlah Pengunjung30915131

A- A A+