faq lokasi aduan peta


MASJID BANDAR & JAJAHAN

MASJID LONG TANG, LOJING

MASJID LONG TAN, LOJING

PENGENALAN

Masjid Long Tan, Lojing merupakan masjid jajahan bagi jajahan kecil Lojing. Ia tertakluk dibawah seliaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK). Masjid ini juga dipertanggungjawabkan untuk menyelia lima buah masjid mukim di sekitar jajahan kecil Lojing. Di antaranya ialah Mukim Sigar, Mukim Pos Hendrop, Mukim Pos Tuel, Mukim Kuala Betis dan Mukim Pos Balar. Nama masjid adalah sempena nama raja pemerintah kawasan Kelantan Selatan iaitu Long Tan.

SEJARAH PENUBUHAN

Long Tan merupakan putera Long Yunus, Yang Di-Pertuan Negeri Kelantan (1765 -1795). Nama lengkap baginda ialah Long Tan bin Long Yunus bin Long Sulaiman. Baginda dikurniakan gelaran Raja Temenggong Aria Pahlawan. Baginda mempunyai empat orang putera iaitu Tuan Kota (Tengku Senik), Long Senik Mulut Merah (Sultan Muhamad II), Tengku Long Nik Gagap (Tengku Sri Indera) dan Tengku Tuan Bongsu (Raja Muda Penambang).

Sewaktu Sultan Muhamad 1 memerintah Kelantan daripada tahun 1801 sehingga 1836, baginda telah membahagikan kawasan pemerintahan dengan menyerahkan kawasan Galas, Ulu Kelantan kepada baginda Long Tan dan melantiknya sebagai raja pemerintah di situ. Baginda bertanggungjawab dalam mentadbir dan mengurus hal-hal seperti memungut hasil cukai, pencegahan aktiviti jenayah, membuka tanah-tanah kebun dan sebagainya. Semasa pemerintahan baginda, Galas begitu makmur dan sejahtera. Sungguhpun begitu, pemerintahan Long Tan di Galas tidak lama, apabila baginda mangkat ketika menjalankan tugas.

Memandangkan pusat pemerintahan Long Tan di Galas, dalam Jajahan Gua Musang, maka nama baginda diabadikan di masjid ini sebagai tanda ingatan bagi generasi pada hari muka. Dengan pengabdian nama Masjid Long Tan, Lojing ini akan mengembalikan ingatan dan sejarah salasilah raja-raja pemerintah negeri Kelantan terutamanya di Gua Musang.

LATAR BELAKANG

Masjid Long Tan merupakan masjid mukim pertama yang dibina di Lojing. Pembinaan masjid yang pada mulanya dinamakan Masjid Keputeraan Lojing menjadi penanda hasrat kerajaan Kelantan mendahulukan urusan agama dalam pentadbiran negeri. Batu asas pembinaan Masjid Long Tan disempurnakan oleh Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra ibni Sultan Ismail Petra pada 31 Julai 2010 bersempena pengiystiharan Lojing menjadi jajahan (daerah) kecil.

Kedudukan Masjid Long Tan hanya beberapa ratus meter dari sempadan negeri Kelantan - Pahang mula digunakan pada November 2013. Masjid ini menjadi tumpuan mereka yang melalui kawasan tersebut sama ada dari Cameron Highlands atau sebaliknya. Pengunjung dari Cameron Highlands akan disambut oleh pemandangan masjid yang terletak di atas bukit di sebelah kiri jalan. Pemandangan yang jelas dan keindahan masjid menggamit orang ramai untuk singgah di masjid berkenaan sebelum meneruskan perjalanan ke Gua Musang dan seterusnya.

Kawasan tempat letak kereta yang luas dan adanya kemudahan wakaf serta taman mini permainan untuk kanak-kanak menjadikan ia amat selesa bagi musafir singgah untuk melunaskan tanggungjawab kepada Allah dan mengambil peluang untuk berehat seketika. Dari kawasan masjid, pengunjung berpeluang melihat keindahan alam di kawasan Lojing yang kini semakin berkembang dengan aktiviti pertanian tanah tinggi.

Tapak Masjid Long Tan iaitu tanah Lot 207 Mukim Sigar, Jajahan Gua Musang telah diwartakan dalam warta kerajaan Negeri Kelantan Warta No. 1110 pada 02hb. Ogos 2018 bagi maksud wakaf tapak masjid di bawah kawalan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

KEMUDAHAN FASILITI

  1. Tapak Perkhemahan
  2. Dewan Serbaguna
  3. Taman Permainan 
  4. Rumah Tamu
  5. Tandas OKU
  6. Gazebo
 

KEMUDAHAN FASILITI

  1. Semakan zakat
  2. Bayaran zakat
  3. Agihan Zakat
 
  • MASJID D’RAJA TENGKU AZIZA BINTI TENGKU HAMZAH
    Lot 207, Jalan Blue Valley, 18350 Lojing, Kelantan

  • Emel : mbkj_lojing [at] e-maik [dot] my

  • Facebook : Masjid Long Tan, Lojing

HUBUNGI KAMI

Talian : +609-7481512

Faks: +609-7485512

Emel: maik [at] e-maik [dot] my

Aduan: KLIK DI SINI

BILANGAN PENGUNJUNG

Hari Ini1187
Kelmarin3486
Minggu Ini7667
Bulan Ini49776
Jumlah Pengunjung27062847

A- A A+