faq lokasi aduan peta


BERITA 2024

MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN

AIR MATA PILU

“Kami terpaksa berhutang…Kami pernah makan nasi goreng ‘bodo’ tak ada lauk. Terputus makanan sudah biasa buat kami.” Itulah luahan seorang bapa kepada kami dek kerana hidupnya amat kesempitan.

Mendengar luahan itu, anak keduanya Nur Nasuha berumur 12 tahun yang duduk di sebelah si bapa tidak dapat menahan kesedihan. Air matanya tumpah. Bukan kerana dia malu si ayah bercerita tentang kekurangan mereka, tapi dia menangis kerana dia benar-benar merasakan betapa orang tuanya mengharungi hidup yang sukar demi mereka.

Inilah kisah yang kami kongsikan ketika kami menyantuni keluarga Mohd Sanusi bin Mamat, 38, bersama isteri dan empat anaknya di rumah sewa mereka di Kampung Lubuk Nibong, Pak Badol, Bachok.

Kerana kemiskinan hidup, Abang Nusi juga kecewa kerana anak sulung dan anak keduanya Nur Nasuha terpaksa melupakan impian untuk belajar di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM). Meskipun tahu anak-anaknya terlalu mahukan belajar di sana tapi apakan daya dia tidak berduit dan tak mampu menghantar mereka untuk menduduki ujian kemasukan ke MRSM.

Bukan tidak mahu berusaha tetapi dia tidak mampu. Abang Nusi menderita akibat gastrik dan gerd sejak dua tahun lalu. Dia tidak boleh kerja keras. Jika dulu dia bekerja sebagai mekanik. Ada pendapatan RM500 sebulan. Disebabkan dia pernah pitam, pernah sesak nafas dan kepenatan melampau, dia tidak lagi keluar mencari rezeki, Allahuakbar ujian sangat berat dilalui Abang Nusi.

Disebabkan itulah, Abang Nusi selalu berpesan kepada anak-anaknya, mereka kena selalu ingat “kita orang susah, kena belajar bersungguh-sungguh kerana dengan ilmulah dapat mengubah masa kita nanti.”

Ketika Abang Nusi bercerita, kami terdengar esakan Adik Nasuha sambil mengelap air mata. Kami faham perasaan Adik Nasuha. Adik Nasuha juga memberitahu kami, setiap kali solat dia doakan yang kedua orang tuanya dipanjangkan usia supaya dapat melihat kejayaan mereka adik-beradik suatu hari nanti. Dia juga doakan supaya bapanya kembali sembuh seperti biasa. Amin…Amin.. Amin Ya Rabbal Alamin.

Jauh di lubuk hati Abang Nusi, sebagai ayah dan suami mahukan anak-anak dan isteri hidup dengan mewah. Namun ALLAH SWT telah aturkan segalanya. Dia tidak berserah pada takdir dan putus semangat demi keluarga tercinta. Dia tidak berhenti berdoa kerana bagi Abang Nusi di sebalik dugaan yang dihadapi ALLAH SWT akan hadirkan rezeki lebih baik buat mereka asalkan tidak lupa kepada Maha Pencipta. ALLAH SWT maha mendengar doa hamba-hambanya. Hari ini MAIK tampil membantu.

Kami yang berada di lokasi rakaman turut bersedih, kerana kami juga tahu yang kehidupan mereka sangat mencabar. Mereka wajib dibantu, maka dengan itulah pihak MAIK mewakili pembayar zakat kami dengan segera menyantuni mereka.

Mewakili pembayar zakat. Kami sampaikan berita yang mengharukan mereka sekeluarga. Kami bawakan utusan yang mampu membuatkan mereka bersyukur dan tersenyum. Tidak lain, tidak bukan, kami maklumkan yang mereka diberikan bantuan zakat sebanyak RM500 sebulan. Bukan itu sahaja, kami juga sampaikan bantuan segera wang zakat sebanyak RM2,000 dan bakul makanan.

Abang Nusi juga tidak perlu lagi berhutang untuk membayar rumah sewa. Pembayar zakat kami tanggung kos keseluruhan bulanan mereka. Untuk perbelanjaan persekolahan anak sulung di Tingkatan Satu juga mereka tak perlu runsing, kami syorkan untuk Biasiswa Tengku Anis MAIK.

Khabar gembira tadi disampaikan oleh AF. Ustaz Wan Mohd Fikri bin Wan Sani, Imam Tua Masjid Jamek Mahmoodi Bachok bersama Yang Berusaha Encik Amir Auni bin Mohd Roslan, Penolong Pegawai Agihan Zakat MAIK ketika menyantuni mereka hari ini.

Bersyukurlah anak-anak di luar sana yang dapat belajar dengan penuh kekayaan. Gunalah kelebihan yang ada untuk mencari ilmu. Jadikan kepayahan insan lain yang terlalu inginkan belajar ketika mana mereka berada dalam keadaan susah sebagai motivasi dalam hidup. Tidak rugi kita berilmu.

#MAIK2024

#TerimaKasihPembayarZakat

 

 

flickr

www.flickr.com

Cetak   Emel

HUBUNGI KAMI

Talian : +609-7481512

Faks: +609-7485512

Emel: maik [at] e-maik [dot] my

Aduan: KLIK DI SINI

BILANGAN PENGUNJUNG

Hari Ini2271
Kelmarin3906
Minggu Ini13305
Bulan Ini85340
Jumlah Pengunjung31540662