
BUAH TANGAN SYAWAL BUAT SAUDARA BARU KITA
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sentiasa cakna akan kebajikan para saudara baru termasuklah juga dalam persiapan mereka mengimarahkan Ramadan dan meraikan Aidilfitri.
Justeru sebagaimana kelaziman pada tahun ini 475 orang peserta kelas fardhu ain mingguan mualaf yang aktif melibatkan 10 jajahan diberikan buah tangan sempena Syawal nanti.
Pihak MAIK telah memperuntukan sebanyak RM8 juta setahun daripada kumpulan wang zakat untuk asnaf mualaf bagi menguruskan kelas fardhu ain mingguan saudara baru termasuk kelas fardhu ain mingguan kepada saudara baru masyarakat Orang Asli.
Semalam telah berlangsungnya Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri dan Berbuka Puasa Bersama Peserta Kursus Fardu Ain Mingguan Saudara Baru Tahun 1446H/2025M di Masjid Jamek Muhammadi, Kota Bharu.
Seramai 132 saudara baru yang tinggal di sekitar jajahan Kota Bharu diberikan hamper dan juga duit raya pada majlis semalam.
Sumbangan telah disampaikan oleh Yang Amat Berbahagia, Dato’ Haji Mohd Anis bin Hussein (Timbalan Yang Dipertua MAIK) bersama Yang Amat Berusaha Dr. Hasnan bin Haji Ramli, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK).
Hadir sama Yang Berusaha Tuan Haji Muhamad Rasani bin Ramli (Setiausaha MAIK) dan Al-Fadhil Ustaz Murtadha bin Abdullah (Ketua Pegawai Agama MAIK).
Sumbangan untuk peserta di jajahan lain akan disalurkan melalui Pegawai Agama Jajahan masing-masing dengan segera.
Semoga bantuan ini dapat meringankan beban kewangan golongan asnaf saudara baru dalam menyambut Syawal nanti disamping meraikan golongan saudara baru yang baharu memeluk Islam serta golongan asnaf saudara baharu.
Penganjuran program hari ini juga membuktikan komitmen dan kerjasama pihak JAHEAIK bagi menyemarakkan lagi usaha dakwah bersama MAIK.