KEBAJIKAN INSTITUSI PENDIDIKAN ISLAM YANG BERDAFTAR DENGAN MAIK DIJAGA
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sentiasa cakna dan peka terhadap hal-hal berkaitan kebajikan institusi pendidikan Islam yang berdaftar dengan MAIK.
Pada tahun 2022, MAIK telah menyalurkan bantuan sumbangan sebanyak RM466,800 dan pada 2023 bertambah kepada RM620,700.00 bagi tujuan sumbangan Bantuan Perkapita Pelajar kepada institusi pendidikan Islam.
Perkara itu diumumkan Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato' Haji Mohamad Rizam Bin Tengku Abdul Aziz, Tengku Temenggong Kelantan juga Yang Dipertua MAIK sempena Majlis Perasmian Seminar Pemantapan Akidah dan Muamalat Kepada Pemegang Tauliah Mengajar Agama MAIK Bagi Tahun 2024 anjuran bersama Jabatan Mufti Negeri Kelantan di Hotel Renai, semalam.
Pada tahun ini pula, MAIK meneruskan lagi penyaluran sumbangan bantuan kepada institusi-institusi pendidikan Islam yang berdaftar penuh dengan MAIK berjumlah sebanyak RM639,630.00.
Sumbangan bantuan ini adalah bertujuan untuk membantu pihak pengurusan institusi pendidikan Islam MAIK dapat meningkatkan kecekapan pengurusan, menyediakan keperluan yang sesuai dan memberikan keselesaan pembelajaran buat para pelajar secukupnya.
Disamping Bantuan Perkapita Pelajar yang disalurkan kepada institusi pendidikan Islam, MAIK juga turut mengagihkan bantuan zakat pelajaran dalam kategori asnaf fisabilillah yang dikhususkan kepada pelajar-pelajar pondok dan maahad tahfiz yang berdaftar dengan MAIK menerusi Bantuan Pelajar Sekolah Pondok dan Tahfiz.
Sehingga 31 Oktober 2024 sebanyak RM613,000.00 telah diagihkan kepada 613 orang pelajar.
Bantuan ini dikreditkan ke akaun pondok atau maahad tahfiz tempat pelajar-pelajar tersebut sedang mengikuti pengajian mereka. Ia diagihkan bagi meringankan bebanan ibu bapa pelajar untuk membayar yuran belajar sepanjang tempoh pengajian mereka.
Bantuan-bantuan ini jelas menunjukkan kecaknaan MAIK dalam usaha memperkasa institusi pendidikan Islam yang berdaftar dengan MAIK agar institusi ini sama-sama berperanan dalam mendidik para pelajar menjadi insan yang berilmu dan berakhlak mulia. Amin.