faq lokasi aduan peta


BERITA 2024

MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN

PESANAN TENGKU TEMENGGONG KELANTAN KEPADA PEMEGANG TAULIAH MENGAJAR MAIK

Sama-sama kita ikuti dan dalami pesanan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato' Haji Mohamad Rizam Bin Tengku Abdul Aziz, Tengku Temenggong Kelantan juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) kepada para memegang tauliah mengajar MAIK.

“Fenomena kemunculan pelbagai fahaman dalam agama, aliran pemikiran modenisasi, progresif, liberal yang bersumberkan pengaruh barat, penyebaran fahaman yang jauh menyimpang dari akidah umat Islam ditambah pula dengan ajaran meragukan dan menyeleweng, yang juga termasuk dalam ajaran-ajaran sesat kini semakin menjadi-jadi”

“Lebih-lebih lagi dengan perkembangan semasa teknologi yang memudahkan masyarakat untuk mengakses segala maklumat dengan pantas tanpa sempadan melalui hantaran-hantaran di media sosial yang berleluasa tanpa tapisan membawa naratif serta persepsi buruk melibatkan akidah umat Islam andai tidak dibendung”

“Tambahan pula, masyarakat kini dihidangkan dengan perbalahan dan perselisihan faham pada perkara-perkara khilaf dan furu yang tiada berkesudahan antara para agamawan dan ilmuwan yang meletakkan pandangan masing-masing sebagai keutamaan sehingga mengkesampingkan semangat penyatuan, persaudaraan dan tali silaturrahim”

“Maka saat dan ketika ini wajarlah para agamawan dan asatizah terutamanya tuan-tuan dan puan-puan sebagai para pemegang tauliah mengajar agama MAIK dituntut untuk tampil ke hadapan memainkan peranan penting, mengambil pendekatan menjernih dan mengharmonikan keadaan, menjawab serta merungkaikan segala kekeliruan seputar isu-isu dan permasalahan-permasalahan agama yang berlegar dalam kalangan masyarakat ketika ini,” katanya.

Yang Berhormat Mulia Tengku Temenggong Kelantan menitipkan harapan besar tersebut pada Majlis Perasmian Seminar Pemantapan Akidah dan Muamalat Kepada Pemegang Tauliah Mengajar Agama MAIK Bagi Tahun 2024 anjuran bersama Jabatan Mufti Negeri Kelantan di Hotel Renai, semalam.

Majlis turut dihadiri Yang Berhormat Ustaz Mohd Asri bin Mat Daud, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri, Yang Berhormat Sahibus Samahah Dato’ Kaya Perba Dato’ Haji Mohamad Shukri bin Mohamad, Mufti Kerajaan Negeri Kelantan, Yang Amat Arif Dato’ Haji Ibrahim bin Deris, Ketua Hakim Syarie Negeri Kelantan, Yang Berhormat Dato’ Haji Nik Abdul Kadir bin Haji Nik Mohamad, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Kelantan, Yang Amat Berusaha Dr. Hasnan bin Haji Ramli, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan dan Yang Berusaha Haji Muhamad Rasani bin Ramli, Setiausaha MAIK.

Tegas Yang Berhormat Mulia Tengku Temenggong Kelantan pada majlis sama juga, katanya tanpa adanya pencerahan dan penjelasan yang berterusan, masyarakat akan didorong kepada bibit-bibit perpecahan dan kemunduran pemikiran yang langsung tidak membawa sebarang manfaat kepada umat Islam.

Program tahunan ini diadakan untuk menzahirkan kesungguhan, keperihatinan dan keseriusan MAIK sebagai badan pengawal utama yang bertanggungjawab dalam urusan hal ehwal agama Islam di Kelantan.

Ini adalah dengan berusaha meletakkan martabat hal ehwal agama Islam di negeri ini pada tahap tertinggi dengan merangka pelbagai program bermanfaat bagi memperkasa, meningkatkan kualiti, mengukuhkan pemikiran dan mempertajam lagi kefahaman para pemegang tauliah mengajar agama MAIK serta agamawan yang berperanan sebagai agen penting dalam menjelaskan masyarakat berkenaan pegangan asas akidah sebenar masyarakat di negeri ini mestilah bersandarkan pada ahli sunnah wal jamaah dan berpandukan kepada aliran asyairah dan maturidiah serta fahaman mazhab syafie sebagai rujukan dan pengamalan utama masyarakat.

Penganjuran seminar kepada pemegang tauliah agama MAIK pada tahun ini turut membawakan sedikit kelainan dengan menarik perhatian peserta berkaitan bahaya scammer dalam sesi urus niaga ketika ini.

Pendedahan kepada para peserta berkaitan isu semasa ini sangat penting dalam menambahkan ilmu pengetahuan dan mendedahkan tuan-tuan dan puan-puan berkenaan bahaya penipuan urus niaga dalam talian yang sering berlaku melalui capaian internet, aplikasi media sosial facebook, intagram, whatsapp, telegram dan sebagainya.

Kita juga telah mendengar sudah berapa banyak kes melibatkan penipuan urus niaga dalam talian yang dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia dan kerugian ribuan ringgit dialami oleh mangsa.

Ini semua dikaitkan kerana tiada pendedahan dan aspek-aspek kesedaran untuk mengenal pasti ciri-ciri penipuan urus niaga dalam talian sehingga menjerumuskan mereka kepada malapetaka yang lebih besar seperti masalah emosi, kemurungan, stress melampau, berhutang, kes-kes jenayah yang lain dan sebagainya.

Masalah yang akan dihadapi bukan sahaja bersifat peribadi bahkan akan mengesani keluarga dan masyarakat secara umumnya.

Semoga program yang dianjurkan ini membawa manfaat yang besar kepada semua.Insyaallah.

#MAIK2024

flickr

www.flickr.com

Cetak   Emel

HUBUNGI KAMI

Talian : +609-7481512

Faks: +609-7485512

Emel: maik [at] e-maik [dot] my

Aduan: KLIK DI SINI

BILANGAN PENGUNJUNG

Hari Ini274
Kelmarin3461
Minggu Ini3735
Bulan Ini75770
Jumlah Pengunjung31531092