faq lokasi aduan peta


BERITA 2024

MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN

MAAHAD TAHFIZ AL-QURAN (PEREMPUAN) PERTAMA MAIK TELAH BEROPERASI

Perasmian Maahad Tahfiz Al-Quran ( Perempuan ), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) pada hari ini merupakan satu pencapaian serta kebanggaan yang cukup besar kepada Maahad Tahfiz Al-Quran MAIK secara khasnya dan MAIK sendiri.

Hal ini kerana, kita dapat melihat bahawa Maahad Tahfiz Al-Quran MAIK yang ada sekarang ini sudah jauh melangkah ke hadapan melalui perkembangan program akademik, pembangunan infra dan hari ini ditambah program untuk mahasiswa perempuan pula.

Maahad Tahfiz Al-Quran MAIK dikenali oleh masyarakat setempat sebagai pusat pengajian yang menyediakan peluang pembelajaran tahfiz al-Quran khusus kepada para pelajar lelaki atau mahasiswa sahaja.

Pada tahun 2022, keputusan untuk menawarkan Program Diploma Tahfiz Al-Quran dan Al-Qiraat kepada pelajar perempuan telah dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Maahad Tahfiz Al-Quran MAIK.

Maahad Tahfiz A-Quran ( Perempuan ) MAIK berjaya direalisasikan dan bangunan tiga tingkat ini dibina di Lot 5166 Mukim Pendek, Kota Bharu bersebelahan Masjid Mukim Kamil Hassan, Pendek yang didirikan di atas tanah wakaf.

Pada hari ini, 2 Mac 2024 bersamaan 21 Syaaban 1445 telah menyaksikan berlangsungnya majlis perasmian maahad tersebut yang diadakan di bangunan berkenaan dan dirasmikan oleh Yang Berhormat Mulia, Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam bin Tengku Abdul Aziz, Yang Dipertua MAIK.

Majlis turut dihadiri Yang Mulia Tunku Puan Sri Dato' Hajjah Noor Hayati binti Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tengku Puan Temenggong; Yang Berhormat Sahibus Samahah Dato’ Kaya Perba, Dato’ Haji Mohamad Shukri bin Mohamad, Mufti Kerajaan Negeri Kelantan bersama isteri.

Hadir sama pada majlis yang bersejarah itu adalah, Yang Berhormat Encik Saizol bin Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor bersama isteri dan juga insan mulia juga individu yang mewakafkan tanah untuk pembinaan tahfiz berkenaan iaitu, Yang Berbahagia Datin Nik Khatijah @ Zubaidah Binti Nik Man bersama suami.

Seramai 10 orang mahasiswi berusia 19 hingga 20 tahun telah berdaftar sebagai kumpulan pertama pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran (Perempuan) bagi sesi pengajian 2023/2026 yang mana ketika itu sesi pengajian dilaksanakan di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji memandangkan kerja-kerja naik taraf dijalankan di Pendek.

Pada 3 Disember 2023, penempatan dan proses pembelajaran sepenuhnya telah berjaya dilaksanakan di Pendek yang mana segala kemudahan serta prasarana yang disediakan lengkap dan memenuhi syarat atau prosedur ditetapkan oleh Malaysian Qualification Accreditation (MQA).

Sistem dan program pengajian di Maahad Tahfiz Al-Quran ( Perempuan) MAIK juga adalah sama, iaitu para pelajar mengikuti program Diploma Tahfiz Al-Quran dan Al- Qiraat selama 3 tahun atau 6 semester sebagaimana ditetapkan pihak Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Pelajar juga diwajibkan menghafaz Al-Quran 30 juzuk dan perlu mengkhatamkannya dalam tempoh berkenaan.

Bermula sesi pengajian akan datang iaitu 2024/2027, satu syukbah baharu iaitu syukbah muamalat bakal ditawarkan oleh Maahad Tahfiz Al-Quran MAIK kepada para pelajar ambilan baharu. Terima kasih diucapkan kepada pihak Darul Quran JAKIM di atas kelulusan yang diberikan ini.

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih yang diucapkan kepada pewakaf utama iaitu Yang Berbahagia Datin Nik Khatijah @ Zubaidah Binti Nik Man serta pewakaf-pewakaf lain kerana hasil wakafan tersebut, pengajian Tahfiz Al-Quran khusus kepada Maahad Tahfiz Al-Quran MAIK dapat dilaksanakan.

Ucapan yang sama turut dizahirkan kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Masjid Mukim Kamil Hassan, Pendek kerana telah memberikan pelbagai kemudahan dan bantuan kepada pihak MAIK dalam membantu melancarkan segala urusan berkaitan Maahad Tahfiz Al-Quran ( Perempuan ) MAIK.

Tidak dilupakan, penduduk-penduduk kampung serta orang-orang perseorangan sama ada secara langsung mahupun tidak langsung menyumbang kepada terzahirnya Maahad Tahfiz Al-Quran (Perempuan) MAIK.

Pihak pengurusan MAIK sentiasa menyokong dan menyambut baik setiap perkara atau usul yang diketengahkan dari Maahad Tahfiz Al-Quran sama ada berkaitan dengan pembangunan pengurusan, prasarana, program kecemerlangan akademik dan pembentukan sahsiah para pelajar.

Hal ini termasuklah kelulusan bagi proses penambahan pensyarah dan kakitangan yang telah dilakukan khusus untuk pengoperasian Maahad Tahfiz Al-Quran ( Perempuan ) MAIK selain pemberian elaun bulanan termasuk makan minum kepada para pelajar iaitu maksimum sebanyak RM750 sebulan.

Khusus kepada pelajar tahun akhir, sebagai galakan untuk mereka menyambung pelajaran ke peringkat ijazah pertama di luar negara selepas tamat diploma, MAIK melalui Unit Pendidikan telah bersetuju memberikan biasiswa penuh kepada semua Pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran MAIK yang berjaya dengan mendapat purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 3.0 dan ke atas.

Kesemua pembiayaan elaun serta biasiswa yang diberikan khusus kepada para pelajar yang layak ini adalah hasil daripada kutipan zakat MAIK.

Semenjak penubuhan Maahad Tahfiz Al-Quran MAIK pada awal tahun 1983 lagi, para pelajar telah menunjukkan kecemerlangan dari segi akademik dan pembentukan sahsiah serta jati diri yang mampan.

Para pelajar telah dikenali dan sentiasa menjadi pilihan masyarakat sekitar dalam menyumbangkan khidmat bakti mereka sebagai Imam tarawih pada bulan Ramadan, serta keterlibatan mereka dalam memenuhi permintaan masyarakat dalam program-program ibadah dan kemasyarakatan yang lain seperti tahlil, solat hajat dan sebagainya.

Melalui sumbangan tenaga dan kepakaran tersebut, Yang Berhormat Mulia menzahirkan kepercayaan bahawa pelajar-pelajar tahfiz ini telah berjaya MAIK infakkan untuk berbakti kepada masyarakat semenjak mereka mula mendaftarkan diri sebagai pelajar di Maahad Tahfiz ini.

Oleh sebab itu, dengan adanya Maahad Tahfiz Al-Quran ( Perempuan ) MAIK ini, Yang Berhormat Mulia berharap para pelajar ini juga dapat kita infakkan kepada masyarakat melalui penglibatan dalam aktiviti-aktiviti bersama masyarakat yang sesuai dengan para pelajar.

Yang Berhormat Mulia percaya tiada balasan dari sudut material serta lain-lain yang diinginkan oleh para pewakaf, para penyumbang, para pembayar zakat atau individu-individu lain, melainkan daripada ingin melihat anak-anak pelajar tahfiz di bawah seliaan MAIK ini mampu berjaya menjadi huffaz yang berkualiti, berintelektual, berpengetahuan luas dalam aspek duniawi dan ukhrawi serta sarat dengan keperibadian dan personaliti yang unggul sebagai penghafal Al-Quran.

#MAIK2024


Cetak   Emel

HUBUNGI KAMI

Talian : +609-7481512

Faks: +609-7485512

Emel: maik [at] e-maik [dot] my

Aduan: KLIK DI SINI

BILANGAN PENGUNJUNG

Hari Ini664
Kelmarin3481
Minggu Ini15966
Bulan Ini44685
Jumlah Pengunjung27511128