
MAIK AGIH LEBIH RM2.84 JUTA ZAKAT UNTUK BANTUAN AWAL PERSEKOLAHAN TAHUN 2025
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah mengagihkan lebih RM 2.48 juta untuk Bantuan Awal Persekolahan MAIK pada tahun 2025.
Bantuan itu telah diagihkan menerusi 21 buah Masjid Negeri, Bandar dan Jajahan di seluruh Negeri Kelantan untuk diagihkan bagi membantu ibu bapa yang kurang berkemampuan dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak.
Pada semalam, Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato' Haji Mohamad Rizam Bin Tengku Abdul Aziz, Tengku Temenggong Kelantan juga merangkap Yang Dipertua MAIK bersama Yang Mulia Tunku Puan Sri Dato' Hajah Noor Hayati binti Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tengku Puan Temenggong telah mengagihkan Bantuan Awal Persekolahan kepada 200 orang penerima di jajahan Pasir Mas.
Penyerahan bantuan tersebut diadakan di Masjid Al-Taqwa Mukim Bunut Susu, Pasir Mas yang turut dihadiri Yang Amat Berbahagia, Dato’ Haji Mohd Anis bin Hussein (Timbalan Yang Dipertua MAIK), Yang Berhormat Dato’ Mohd Faudzi bin Che Mamat (Pengerusi Masjid Al-Taqwa Mukim Bunut Susu) dan Yang Berusaha Tuan Haji Muhamad Rasani bin Ramli (Setiausaha MAIK) masing-masing bersama isteri.
Seorang penerima bantuan, ibu kepada 7 anak, Zaradah binti Daud berusia 51 tahun memberitahu bantuan yang diterima amat membantunya menampung perbelanjaan persekolahan. Katanya, dua anaknya masih bersekolah iaitu di tahun Enam dan Tingkatan Enam Atas memerlukan perbelanjaan yang banyak.
Lagipun, kak Zaradah berkata, suaminya menghidap penyakit kencing manis, hanya bekerja kampung dengan melakukan apa sahaja pekerjaan demi keluarga.
Kak Zaradah mengucapkan terima kasih kepada MAIK dan juga pembayar zakat yang telah membantu keluarga mereka.
Sementara itu, Zulkifli bin Abdullah memberitahu, perbelanjaan persekolahan anak memang tinggi kos kerana mempunyai 4 anak yang bersekolah. Ujarnya dengan bantuan yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat digunakan untuk keperluan harian dan sangat membantu keluarganya.
Terima Kasih Para Pembayar Zakat, Anda Hero Asnaf