
“TERBIASA DI RUMAH USANG, TIDAK PERNAH BERMIMPI AKAN MILIKI RUMAH SEPERTI INI”
Memiliki tempat tinggal sendiri yang selesa bersama ahli keluarga adalah idaman buat semua orang, bagaimanapun bukan semua dapat menikmatinya kerana tidak berkemampuan.
Bagi merealisasikan impian ini dan memberikan sinar kegembiraan, pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menerusi wang zakat telah membantu 20 keluarga di Jajahan Pasir Mas memiliki kediaman yang selesa sepanjang tahun 2024.
MAIK menyediakan rumah kediaman yang mempunyai 3 hingga 5 bilik kepada penerima bergantung kepada keperluan pemohon.
Semalam, Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato' Haji Mohamad Rizam Bin Tengku Abdul Aziz, Tengku Temenggong Kelantan juga merangkap Yang Dipertua MAIK bersama Yang Mulia Tunku Puan Sri Dato' Hajah Noor Hayati binti Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tengku Puan Temenggong Kelantan telah menyerahkan replika kunci bersama sumbangan wang tunai kepada penerima.
Penyerahan bersempena Majlis Pelancaran Bantuan Awal Persekolahan Tahun 2025 dan Pengurniaan Replika Kunci Rumah MAIK diadakan di Masjid Al-Taqwa Mukim Bunut Susu, Pasir Mas.
Majlis turut dihadiri Yang Amat Berbahagia, Dato’ Haji Mohd Anis bin Hussein (Timbalan Yang Dipertua MAIK), Yang Berhormat Dato’ Mohd Faudzi bin Che Mamat (Pengerusi Masjid Al-Taqwa Mukim Bunut Susu) dan Yang Berusaha Tuan Haji Muhamad Rasani bin Ramli (Setiausaha MAIK) masing-masing bersama isteri.
Seorang penerima, Nor Hafizah binti Ghazali,40 tahun memberitahu, kehidupan mereka 10 orang sekeluarga lebih selesa setelah mendapat rumah baharu daripada MAIK. Sebelum ini mereka tinggal di rumah yang sangat usang.
Luahnya, jika dilihat dari luar, rumah mereka di Kampung Banggol Chicha, Pasir Mas nampak elok tetapi di bahagian dalamnya, kayu sudah banyak yang reput dan tidak selamat untuk didiami.
Puan Nor mengucapkan terima kasih kepada MAIK dan pembayar zakat kerana sebenarnya dia tidak menyangka akan menerima rumah daripada pihak MAIK.
Seorang lagi penerima, Halimah binti Yaacob, 63 memberitahu dia sangat berterima kasih kepada MAIK dan pembayar zakat kerana menerima rumah yang sangat selesa selepas rumah lamanya tidak dapat dibaiki lagi selepas ditimpa pokok.
Lihatlah pembayar zakat sekalian betapa bermaknanya zakat anda kepada insan-insan yang memerlukan ini.
Hanya Allah SWT yang mampu membalas jasa kalian semua.
Para Pembayar, Anda Adalah Hero Sebenar Asnaf