MAIK SANTUNI MANGSA BANJIR DARI RUMAH KE RUMAH DI BACHOK
Sebelum ini pihak MAIK telah menyalurkan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di Jajahan Bachok menerusi Pejabat Tanah dan Jajahan Bachok. Namun pada hari ini, dalam keadaan hujan renyai kami turun padang menyantuni mereka di Kampung Bukit Hanyut.
Ketika kami tiba hari ini, keadaan rumah mereka masih lagi kotor dan kesan kedalaman paras air masih lagi jelas. Ketika kami sampai pun mereka sedang membersihkan kediaman.
Terasa sedih, kerana ketika kami sampai, ada beras yang rosak ditenggelami banjir, pakaian berlumpur dan peralatan elektrik rosak. Tidak dapat diselamatkan kerana air naik dengan mendadak dan berlaku dalam keadaan luar jangka.
Bagi meredakan sedikit keresahan mereka, pada hari ini pihak MAIK diwakili Yang Amat Berbahagia Dato’ Haji Mohd Anis bin Hussein, Timbalan Yang Dipertua MAIK bersama Yang Berusaha Haji Muhamad Rasani bin Ramli, Setiausaha MAIK menyantuni mangsa dari rumah ke rumah.
Selain bertanya khabar, kami juga menyampaikan sumbangan makanan dan juga wang tunai kepada empat pemilik rumah yang terjejas teruk akibat banjir.
Walaupun riak wajah mereka masih terkejut dengan kerosakan dan kerugian yang dihadapi namun mereka menyambut kedatangan kami dengan senyuman. Mereka turut mengucapkan terima kasih kepada pihak MAIK yang telah menyampaikan sumbangan hari ini.
Sesi menyantuni asnaf dan mangsa banjir hari ini turut disertai Yang Berusaha Encik Ikhwan bin Mat Yasin @ Hashim, Pegawai Pengurusan Projek MAIK, AF. Ustaz Wan Mohd Fikri bin Wan Sani, Imam Tua Masjid Jamek Mahmoodi Bachok dan Yang Berusaha Puan Siti Farahida binti Fauzi, Pegawai Agihan Zakat MAIK.