HANYA YANG DIIKAT PADA ALANG TERSELAMAT
“Hanya barang yang diikat dan digantung pada alang rumah terselamat,” Itulah yang diluahkan makcik Zawiyah binti Ismail kepada kami ketika disantuni di rumahnya di Kampung Bharu, Pasir Puteh hari ini.
Makcik Zawiyah yang berusia 70 tahun itu menceritakan kebanyakan barangan lain rosak dan tidak diselamatkan kerana rumahnya ditenggelami banjir sehingga mencecah bumbung. Dia yang tinggal sendirian di rumah meredah air pada paras dada untuk keluar ke PPS, Rabu lalu bersama anak-anak yang tinggal berdekatan dengan rumahnya. Allahuakbar kasihannya makcik Zawiyah.
Petang tadi pun, dia tidak dapat memasak seperti biasa kerana dapur rosak ditenggelami air dan mengharapkan anak-anak yang membelikan nasi bungkus.
Hari ini pihak MAIK yang diketuai Yang Amat Berbahagia Dato’ Haji Mohd Anis bin Hussein, Timbalan Yang Dipertua MAIK bersama Yang Berusaha Haji Muhamad Rasani bin Ramli, Setiausaha MAIK turun padang bertanya khabar dan menyampaikan sumbangan makanan termasuklah wang tunai kepada Makcik Zawiyah.
Makcik Zawiyah mengucapkan terima kasih kepada kami dan memberitahu yang sumbangan ini amat bermakna kepadanya. Kata-kata itu sebenarnya cukup bermakna kepada kami kerana ini bermaksud sumbangan yang disampaikan ini amat diperlukan oleh mangsa banjir yang diuji dengan bencana alam.
Turut bersama turun padang hari ini ialah, Yang Berusaha Encik Ikhwan bin Mat Yasin @ Hashim, Pegawai Pengurusan Projek MAIK, AF. Ustaz Mohd Rosman bin Che Harun, Imam Tua Masjid Jamek Ibrahimi, Pasir Puteh dan Yang Berusaha Puan Siti Farahida binti Fauzi, Pegawai Agihan Zakat MAIK.