
e-AGIHAN JULANG MAIK SEBAGAI JOHAN AISAK KATEGORI INOVASI TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI PERINGKAT NEGERI
MAIK terus melakar sejarahnya setelah dinobatkan sebagai johan pertandingan Anugerah Inovasi Sektor Awam Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2024 bagi kategori Inovasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi.
Pengiktirafan tersebut diumumkan sempena Majlis Sambutan Hari Inovasi Sektor Awam Peringkat Negeri Kelantan 2024 yang diadakan di Dewan Bunga Teratai, Kompleks Kota Darulnaim pada hari ini.
Anugerah telah disampaikan oleh Yang Berhormat Dato’ Kaya Setia, Dato’ Nazran bin Muhammad, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan kepada Yang Berusaha Tuan Haji Muhamad Rasani Bin Ramli, Setiausaha MAIK.
MAIK membawa pulang piala pusingan, piala iringan, sijil penghargaan dan penyertaan bersama wang tunai sebanyak RM4,000.
Pada hari ini, MAIK turut dihadiri oleh Yang Berusaha Puan Marziati bin Yusoff, Pegawai Teknologi Maklumat MAIK, Yang Berusaha Puan Nor Amira Mastura binti Awang, Pegawai Pengurusan Am, MAIK dan Yang Berusaha Encik Muhamad Firdaus bin Mat Rahim, Pegawai Komunikasi Korporat MAIK.
Pada tahun ini, pihak Kerajaan Negeri Kelantan telah menerima sebanyak 17 penyertaan pertandingan bagi kategori Inovasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi.
Pasukan pembentangan inovasi MAIK pada kali ini dianggotai oleh Yang Berusaha Encik Muhamad Firdaus bin Mat Rahim, Pegawai Komunikasi Korporat MAIK sebagai ketua pembentang, Yang Berusaha Encik Muhamad Adrisam bin Mohd Azmi, Yang Berusaha Encik Mohd Arief Syah bin Mat Yazik, Yang Berusaha Puan Asma binti Mat Salleh, Yang Berusaha Encik Nik Ishafudin bin Nik Othman@ Daud dan Yang Berusaha Rosmiza binti Kasim.
Cetusan idea inovasi melaksanakan sistem ini adalah daripada Yang Berhormat Mulia, Tengku Temenggong Kelantan, selaku Tengku Yang Dipertua MAIK yang sentiasa cakna dan prihatin kepada keperluan para asnaf. la bertitik tolak apabila MAIK melancarkan Sistem Bantuan Prihatin MAIK secara atas talian bagi tujuan membantu mereka yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ketika Covid-19.
Pendigitalan Permohonan Bantuan Zakat MAIK (e-Agihan) bukan sahaja memudahkan urusan permohonan, semakan dan kelulusan bantuan dengan menyediakan platform akses atas talian, malah mempercepatkan lagi tempoh permohonan dan kelulusan bantuan.
Selain itu, ia juga menggalakkan sifar atau pengurangan penggunaan kertas dan menyediakan perkhidmatan cepat, mudah dan telus.
Kumpulan sasaran pengguna sistem ini adalah asnaf, sanak saudara, jiran tetangga, agensi yang terlibat dan masyarakat atau komuniti yang prihatin dalam membantu menjadi pemudah cara.
Pelaksanaan sistem ini merupakan inovasi kepada penggunaan teknologi maklumat sebagai medium interaksi asnaf dan MAIK. Transformasi penggunaan manual kepada permohonan atas talian ini menepati permintaan asnaf dan pihak pengurusan yang mahukan satu kaedah yang lebih cepat, mudah dan telus.
Melalui saringan/tapisan kadar had kifayah dan syarat-syarat permohonan, beberapa proses manual telah berjaya dipendekkan bagi membolehkan sistem ini memfokuskan kepada mereka yang benar-benar layak untuk disantuni.
Pelaporan siasatan juga dilaksanakan secara atas talian membolehkan penyiasat MAIK menjalankan kerja dengan lebih efisyen.
Cakna kepada kesukaran pemohon yang terpaksa hadir ke pejabat bagi membuat permohonan, MAIK pada tahun 2021 memperkenalkan sistem 𝒆-𝑨𝒈𝒊𝒉𝒂𝒏 bagi memudahkan dan memberikan keselesaan kepada pemohon bantuan. Ia dibangunkan secara in house oleh MAIK.
Tahniah kepada seluruh warga MAIK atas pencapaian terbaik ini.