
KEM PENGUKUHAN BAHASA ARAB BAGI MENDUDUKI IMTIHAN QALBU KE MESIR
Kem Pengukuhan Bahasa Arab bagi Persediaan Menduduki Imtihan Qabul (peperiksaan kemasukan) ke Mesir yang dianjurkan oleh Unit Pengajian Bahasa Darul Quran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (DQ MAIK) telah berlangsung dengan jayanya pada 7 dan 8 Februari 2025 di Sudara Beach Resort, Bachok.
Program ini melibatkan 18 orang pelajar semester 6 yang berhasrat untuk menyambung pengajian ke Mesir. Objektif utama program ini adalah untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar dalam menghadapi 'Imtihan Qabul' di Maahad Qiraat Shoubra, Mesir, serta meningkatkan keyakinan diri pelajar dalam berkomunikasi dan menguasai Bahasa Arab dengan lebih baik.
Selain itu, program ini juga bertujuan untuk mengukuhkan penguasaan Bahasa Arab dan melahirkan pelajar yang berkebolehan dalam penulisan Bahasa Arab.
Pengisian program dijalankan dengan pelbagai aktiviti yang bertujuan untuk menguji dan mengukuhkan kemahiran pelajar. Ujian bertutur dalam bentuk Explorace menjadi kelainan dalam program ini, diikuti dengan ujian mendengar dan tatabahasa, ujian membaca, serta ujian bertulis.
Kesemua ujian ini merupakan elemen yang terdapat dalam peperiksaan kemasukan ke Mesir. Selain itu, latihan pengukuhan hafazan turut diselitkan setiap kali waktu solat bagi memastikan pelajar dapat mempersiapkan diri untuk peperiksaan akhir mereka.
Program ini juga melibatkan tenaga pengajar kelas pengukuhan Bahasa Arab, Al-Fadhil Ustaz Mohd Ariff Fadhillah bin Amiruddin, yang banyak memberi bimbingan kepada para peserta.
Program ini telah dirasmikan oleh Ketua Seksyen Hal Ehwal Akademik, Yang Berusaha Asmazawawi bin Mohamed. Sebagai penutup, penyampaian cenderamata diberikan kepada tiga pelajar yang memperoleh markah tertinggi dalam keseluruhan ujian yang dijalankan.
Di samping itu, hadiah turut diberikan kepada pelajar contoh yang menunjukkan sikap dan komitmen baik sepanjang program. Secara keseluruhannya, kem ini telah memberikan impak yang positif kepada para peserta dalam mempersiapkan diri mereka untuk menghadapi 'Imtihan Qabul' di Mesir, serta meningkatkan penguasaan bahasa Arab mereka dengan lebih mantap.