MAIK LANCAR PROGRAM TANWIR MASJID NEGERI KELANTAN
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) pada 24 April 2024 telah melancarkan Program Tanwir Masjid Negeri Kelantan di H-Elite Hotel, Kota Bharu.
Perasmian disempurnakan oleh Yang Berhormat Mulia, Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam bin Tengku Abdul Aziz juga selaku Yang Dipertua MAIK.
Program ini adalah kesinambungan program penarafan yang mana ia menjadi sebahagian daripada usaha MAIK untuk membantu masjid-masjid dalam memberikan bimbingan dan panduan dalam menguruskan masjid secara berkesan dan berjaya.
Tanwir yang bermaksud memberikan cahaya, merupakan suatu elemen pencerahan bagi suatu masa dan kawasan yang malap ke arah kecemerlangan dan kejayaan.
Program ini berkonsepkan mentor dan mentee akan menjadi pemangkin usahasama antara dua buah masjid dengan matlamat berlakunya tiga perkara :
- Transfer of knowledge iaitu perpindahan maklumat dari masjid mentor ke masjid mentee dan sebaliknya. Maklumat yang dimiliki setiap individu dan jawatankuasa masjid tentunya berbeza, dan pertambahan maklumat ini penting bagi memastikan pengurusan masjid lebih berinformasi dan melaksanakan tindakan berdasarkan maklumat yang tepat dan menghasilkan keputusan yang berkesan.
- Transfer of skill. Perpindahan kemahiran ini merupakan suatu latihan secara hand on antara kedua buah jawatankuasa masjid terlibat. Kemahiran dalam bentuk soft skill dan hard skill sangat penting dalam memastikan keterampilan dan karisma para pegawai masjid dapat ditonjolkan.
- Pertambahan kenalan. Hubungan yang baik antara kedua buah masjid pasti akan dapat memberikan manfaat kepada jawatankuasa masjid. Menambah rakan dan kenalan akan menjadikan mereka sebagai aset dalam kehidupan bahkan merupakan rakan strategik dalam membantu melaksana dan menjayakan program yang dirancang.
Program ini melibatkan 26 masjid mentor dan 73 buah masjid mentee.
Konsep bantu-membantu dan seruan ayat ke-2 Surah Al-Maidah merupakan asas penting dalam Program Tanwir.
Program ini akan menjadi medan latihan untuk memberikan peluang bagi masjid 4 dan 5 bintang menjadi champion dalam penarafan masjid.
‘End game’ bagi program ini adalah dengan peningkatan markah dan bintang bagi masjid-masjid 1 bintang ini kepada bintang yang lebih tinggi pada tahun hadapan.
Peningkatan bintang tidak akan berlaku secara semulajadi, sebaliknya akan terhasil dengan usaha keras kita bersama membangunkan dan mengimarahkan masjid.
Kesan langsung daripada program ini sebenarnya adalah masjid kita akan lebih cekap dalam pengurusan, memiliki prasarana dan fasiliti yang selesa, pengimarahan yang aktif melalui program dan aktiviti yang disusun secara berkesan.
Natijahnya, masjid akan betul-betul berfungsi sebagai pusat kemasyarakatan dan institusi agama yang akan mengembangkan syiar dan syariat islam yang sebenar.
Dalam ucapan perasmian, Yang Berhormat Mulia Tengku Yang Dipertua MAIK menyeru kepada semua masjid yang terlibat untuk memastikan pelaksanaan program ini dapat melibatkan semua pihak yang berkepentingan dalam menjayakan sebarang program dan projek yang dirancang.
Gunakan sebaik mungkin modal kewangan yang diberikan bagi tujuan pengurusan program dan projek, dengan harapan agar matlamat besar program tanwir ini akan dapat dicapai dalam tempoh pelaksanaan yang ditetapkan.
Semoga program tanwir ini akan menjadi penanda aras baharu kecemerlangan masjid di negeri Kelantan dan manfaatnya dapat dirasai oleh masyarakat terbanyak.
Pihak MAIK juga mengucapkan terima kasih kepada Yang Berbahagia Professor Dr Mohd Aderi Bin Che Noh, Pakar Rujuk Program Penarafan Masjid Negeri Kelantan yang telah memberikan komitmen untuk bersama dalam menjayakan Program Tanwir pada kali ini.