20 MANGSA TINGGAL SEHELAI SEPINGGANG, TIGA RUMAH HANGUS TERBAKAR: MAIK HULURKAN ZAKAT DENGAN SEGERA
Raut wajah mereka kelihatan sugul. Ketika kami sampai beberapa orang mangsa rumah terbakar di Kampung Bunut Payong sedang merenung jauh melihat kerangka rumah mereka yang sudah menjadi abu dan tiang-tiang rumah yang hitam, yang telah hangus terbakar.
Semalam pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menerusi Masjid Sultan Muhammad II, Telipot Kota Bharu menerima berita sedih yang mana tiga rumah bersaudara membabitkan lima keluarga di Kampung Bunut Payong terbakar kira-kira jam 1.30 petang semalam.
Meskipun masih terkejut dengan tragedi tidak terduga itu, kedatangan kami diwakili YBrs. Puan Nur Afiqah binti Hamidi, Pegawai Tadbir Agihan Zakat MAIK bersama Al Fadhil Ustaz Muhammad Muaaz bin Zamri, Imam Muda Masjid Sultan Muhammad II, Telipot disambut dengan mesra.
Bagi meringankan beban dan mengurangkan kesedihan, setelah kesemua 20 orang sanak-saudara itu tinggal sehelai sepinggang, pihak MAIK telah menyampaikan sumbangan zakat berjumlah RM2,000 dan bakul makanan kepada tiga pemilik rumah yang hangus terbakar itu.
Kejadian dipercayai berpunca akibat litar pintas. Kami mendoakan agar keluarga Abang Deris bin Sulaiman, Shaharudin bin Deris serta Che Madiran bin Che Ali tabah menghadapi ujian dari ALLAH SWT ini.
Menceritakan semula kejadian tersebut, Abang Shaharudin yang bekerja sebagai tukang rumah memberitahu setibanya di rumah dia melihat salah sebuah rumah saudaranya sudah terbakar dan mendengar letupan.
Tanpa berlengah dia terus menjerit dan berlari menyelamatkan cucunya berusia tiga tahun dan ahli keluarga di dalam rumahnya.
“Tak dapat nak selamatkan apapun. Nak masuk ambil barang api dah besar. Hanya sempat dukung cucu keluar,” katanya yang bersyukur ahli keluarga mereka terselamat.
Kejadian petang semalam turut meninggalkan kesan buat dua pemuda, apabila duit yang disimpan untuk hantaran serta barangan persiapan kahwin mereka pada Oktober ini lebih daripada RM20 ribu hangus sekelip mata.
Selain itu, seorang mangsa, Mohamad Rizal bin Deris memberitahu, dia bersyukur kerana semasa kejadian semua sanak saudaranya terselamat. Namun dia sedikit terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan kesemua kucing peliharaannya. Lima ekor terperangkap dan mati.
Di sebalik ujian yang dihadapi para penerima sumbangan mengucapkan terima kasih kepada para pembayar zakat yang menginfakkan harta kepada MAIK, kerana zakat itulah yang dapat membantu sedikit sebanyak kesusahan mereka yang diuji dengan kehilangan harta benda.