faq lokasi aduan peta


BERITA 2022

MAJLIS AGAMA ISLAM & ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN

MAIK RENTAS HUTAN BELANTARA DEMI BANTUAN ZAKAT BUAT ASNAF DI DABONG

Perjalanan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dalam misi menghantar bantuan zakat agak mencabar apabila Dabong dijadikan destinasi kali ini. Misi kurniaan bantuan zakat ini diketuai Yang Berhormat Mulia, Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam bin Tengku Abdul Aziz bersama Yang Mulia Tunku Puan Sri Dato' Hajjah Noor Hayati binti Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tengku Puan Temenggong Kelantan.

Pada Selasa, seawal jam 7.20 pagi rombongan MAIK memulakan perjalanan dengan menaiki kereta api. Perjalanan mengambil masa tiga jam dari Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Wakaf Bharu.

Sebelum tiba di hentian Dabong, kami melalui satu perjalanan yang panjang. Merentasi perkampungan, rimba dan melalui terowong-terowong yang mempunyai lipatan sejarah tersendiri. Tepat jam 10.20 pagi rombongan Program Jalinan Kasih Asnaf MAIK tiba di hentian Dabong dan disambut dengan persembahan silat.

Rombongan turut disertai Yang Amat Berusaha Haji Zulkifle bin Ab Rahman, Timbalan Yang Dipertua MAIK bersama Yang Berbahagia isteri dan Yang Berusaha Encik Muhamad Rasani bin Ramli, Setiausaha MAIK termasuk pegawai-pegawai kanan MAIK kemudiannya terus bergerak ke lokasi pertama pengurniaan zakat iaitu di Kompleks Gua Ikan.

Kompleks yang bakal diiktiraf sebagai Geopark negara kerana kaya dengan nilai khazanahnya.

Di sini seramai 100 asnaf fakir dan miskin yang terpilih menerima kurniaan bakul barangan dapur dan wang zakat RM500 setiap seorang daripada Yang Berhormat Mulia, Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam bin Tengku Abdul Aziz bersama Yang Mulia Tunku Puan Sri Dato' Hajjah Noor Hayati binti Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tengku Puan Temenggong.

Majlis turut dihadiri Yang Mulia Ku Mohd Zaki bin Ku Hussin, ADUN Dabong dan Yang Berbahagia isteri; Yang Mulia Tengku Haji Ab Rahman bin Tuan Yunus, Ketua Jajahan Kuala Krai dan Yang Berbahagia isteri; Yang Amat Berusaha Tuan Haji Hariff bin Ghazali, Yang Dipertua Majlis Daerah Dabong dan Yang Berbahagia isteri.

Seterusnya, selepas menunaikan solat fardu Zohor, rombongan Program Jalinan Kasih Asnaf MAIK meneruskan misi pengurniaan bantuan zakat. Pengembaraan untuk destinasi kedua ini lebih menarik dan terkesan di jiwa kami untuk sampai ke Kampung Serasa.

Perjalanan ke kampung tersebut mengambil masa kira-kira 45 minit dari Kompleks Gua Ikan. Kami terpaksa menggunakan laluan yang hanya boleh dilalui oleh sebuah kenderaan pada satu masa. Bukan sahaja sempit, kiri kanannya penuh dengan semak, ada kalanya melalui selekoh berbahaya di kawasan curam. Ada juga kenderaan luar yang menggunakan laluan ini tersadai di bahu jalan dek kerana laluannya yang agak menguji kemahiran pemanduan. Berbekalkan kecekapan pemandu-pemandu rombongan kami sampai di Kampung Serasa. Alhamdulillah.

Di Kampung Serasa, seramai 20 penduduk telah menerima kurniaan bakul makanan dan juga wang tunai. Penduduk menzahirkan kesyukuran di atas kurniaan tersebut. Seorang penerima, Rosnani binti Zubir, 49 memberitahu dia sudah lama 'tercari-cari' modal untuk membantu jualan mee sup kecil-kecilan yang dijual di rumahnya. Wang zakat ini sangat bermakna untuk ibu lima anak ini membantu suaminya menambah pendapatan keluarga selain mengharapkan hasil jualan menoreh getah. Sang suami juga tidak begitu gagah untuk bekerja berat kerana menghidap penyakit buah pinggang.

Apa sahaja cabaran, kami lalui. Yang penting bantuan-bantuan disediakan oleh MAIK sampai kepada mereka yang memerlukan. Ini amanah para pembayar zakat yang kami di MAIK akan pastikan ditunaikan dengan penuh integriti.

Terima Kasih Para Pembayar Zakat, Anda Hero Asnaf

#MAIK2022

#BayarZakatHartaBerkat

flickr

www.flickr.com

 


Cetak   Emel

HUBUNGI KAMI

Talian : +609-7481512

Faks: +609-7485512

Emel: maik [at] e-maik [dot] my

Aduan: KLIK DI SINI

BILANGAN PENGUNJUNG

Hari Ini465
Kelmarin3741
Minggu Ini7932
Bulan Ini80994
Jumlah Pengunjung30904166

A- A A+