MAIK AGIH WANG ZAKAT LEBIH RM200 JUTA SEPANJANG 2022
Pada 16 Februari 2023, telah berlangsung Majlis Sidang Media Laporan Khas Terimaan Dan Perbelanjaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Bagi Tahun 2022 di Hotel H-Elite, Kota Bharu.
Pengumuman jumlah terimaan dan agihan wang yang diperoleh MAIK telah disempurnakan Yang Berhormat Mulia, Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam bin Tengku Abdul Aziz, Tengku Temenggong Kelantan juga Yang Dipertua MAIK.
Sebagaimana lazimnya, laporan tahunan ini adalah merupakan satu dokumentasi penting sebagai titipan kronologi yang merakamkan sumbangan, gerak kerja dan pencapaian maik dalam memartabatkan pengurusan hal ehwal umat Islam khususnya kepada golongan asnaf yang memerlukan di negeri Kelantan.
Tahun 2022 jelas menunjukkan bahawa MAIK terus komited dalam membangunkan kemajuan sosio ekonomi umat islam di Kelantan semaksimum yang mungkin agar golongan asnaf di negeri ini sentiasa terbela nasibnya.
Untuk makluman bersama, pada tahun 2022, sebanyak RM 200,285,087 wang zakat telah dibelanjakan berbanding tahun 2021 yang berjumlah RM174,126,346. Agihan ini mencatat peningkatan 15% lebih tinggi dari tahun sebelumnya.
Perbelanjaan Program Asnaf Fakir dan Miskin telah mencatat pecahan terbesar dalam program agihan zakat yang mana RM 92,557,157 telah diagihkan sepanjang Januari hingga Disember tahun 2022.
Majlis tersebut turut dihadiri Yang Berhormat Sahibul Samahah Dato’ Kaya Perba Dato’ Haji Mohamad Shukri bin Mohamad, Mufti Negeri Kelantan, Yang Berhormat Dato' Lela Perkasa Dato' Haji Che Mohd Rahim bin Haji Jusoh, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan, Yang Berhormat Sahibul Fadilah Dato’ Nik Abdul Kadir Nik Mohamad, Timbalan Mufti Kelantan, Yang Amat Arif Tuan Haji Ibrahim bin Deris, Ketua Hakim Syarie Negeri Kelantan, Yang Amat Berusaha Tuan Haji Zulkifle bin Ab Rahman, Timbalan Yang Dipertua MAIK, Yang Berbahagia Dato’ Shahidani Abdul Aziz @Juned (Ahli MAIK), Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah bin Che Othman, (Ahli MAIK), Yang Berbahagia Professor Emeritus Dato' Ir. Dr. Zainai bin Mohamed dan Yang Mulia Haji Engku Rajhan bin Engku Ismail, Pengarah Yayasan Islam Kelantan.
Yang Berhormat Mulia, Tengku Yang Dipertua MAIK merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pembayar zakat yang terus setia dan yakin bersama MAIK. Tidak dilupakan juga ucapan terima kasih kepada penyumbang baitulmal, pewakaf dan penderma yang sentiasa bermurah hati menjadikan MAIK sebagai agensi untuk menunaikan tanggungjawab agama dan sosial mereka.
Kepada seluruh rakan-rakan media yang sentiasa bersama dengan MAIK, terima kasih diucapkan atas kerjasama yang baik untuk membantu MAIK dalam menyebarkan maklumat yang tepat, telus dan mutakhir kepada orang ramai berkenaan program dan aktiviti yang dijalankan.
Muat turun Laporan Khas Terimaan Dan Perbelanjaan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan Bagi Tahun 2022 di Portal Rasmi MAIK https://www.e-maik.my/v2/laporan-terimaan-belanjawan
#TerimaandanperbelanjaanMAIK2022