faq lokasi aduan peta


BERITA 2023

MAJLIS AGAMA ISLAM & ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN

GRADUAN HUFFAZ MAIK MENJADI INSPIRASI MASYARAKAT

Semenjak penubuhan Maahad Tahfiz Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) pada awal tahun 1993 lagi, para pelajarnya telah menunjukkan kecemerlangan dan sentiasa menjadi buruan masyarakat.

Alhamdulillah, pada tanggal 14 Februari 2023 bersamaan 23 Rejab 1444H, MAIK telah melangsungkan satu majlis yang penuh barakah yang mana kami telah meraikan seramai 26 lagi mahasiswa huffaz.

Pada majlis tersebut, kesemua 26 huffaz berusia 20 sehingga 21 tahun yang menghafaz kalam suci ALLAH SWT ini diraikan oleh Yang Berhormat Mulia, Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam bin Tengku Abdul Aziz, Tengku Temenggong Kelantan juga Yang Dipertua MAIK di Hotel H Elite, Kota Bharu.

Pada majlis tersebut, selain hadiah yang telah disediakan oleh pihak MAIK, para huffaz juga amat bertuah kerana turut menerima kurniaan hamper daripada Yang Maha Mulia Raja Perempuan Tengku Anis binti Almarhum Tengku Abdul Hamid. Junjung kasih Yang Maha Mulia.

Pencapaian yang amat membanggakan daripada para huffaz yang mendapat sentuhan ilmu dan didikan terbaik daripada para ustaz di sini tidak dapat disangkal lagi, kerana dengan izin ALLAH SWT terdapat dalam kalangan mereka dapat menghafal kalam ALLAH SWT Yang Maha Agung ini dalam tempoh satu tahun setengah sahaja.

Kejayaan dimiliki anak-anak tahfiz serta para huffaz ini bukanlah sesuatu kelebihan yang mudah untuk dicapai. Pastinya mereka melalui cabaran dan ujian sepanjang tempoh menghafal.

Alhamdulillah segalanya dugaan yang mereka lalui dibayar dengan habuan cukup indah apabila di dada mereka tersemat 30 juzuk kalam mukjizat ALLAH SWT. Tahniah diucapkan kepada mereka.

Amat membanggakan. Bukan sahaja kami yang gembira bahkan ibu bapa dan para tenaga pengajar mereka lagi kagum apabila para huffaz kelahiran MAIK ini sentiasa diintai oleh masyarakat untuk berkhidmat sebagai imam tarawih, penyampai khutbah, tahlil dan sebagainya. Khidmat bakti mereka sentiasa dinanti-nantikan komuniti.

Pada majlis sama, pihak MAIK turut menobatkan saudara Anas bin Mohd Satar sebagai penerima Anugerah Tokoh Hafiz Sesi 2021/2023 yang menerima sijil dan wang tunai bernilai RM3,000.

Ketika namanya diumumkan, saudara Anas menitiskan air mata kesyukuran atas kejayaan ini dan ini adalah hadiah teristimewa buat arwah bapanya.

Majlis tersebut turut dihadiri Yang Berhormat Dato’ Panglima Perang, Dato’ Haji Mohd Nassuruddin bin Haji Daud, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri, Yang Berhormat Sahibul Samahah Dato’ Kaya Perba Dato’ Haji Mohamad Shukri bin Mohamad, Mufti Negeri Kelantan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Maahad Tahfiz Al-Quran MAIK dan Yang Amat Berusaha Tuan Haji Zulkifle bin Ab Rahman, Timbalan Yang Dipertua MAIK.

Turut hadir, Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah bin Che Othman, Ahli Majlis MAIK, Yang Berhormat Dato’ Haji Nik Abdul Kadir bin Haji Nik Mohamad, Timbalan Mufti Kelantan; Yang Amat Arif Tuan Haji Ibrahim bin Deris, Ketua Hakim Syarie Negeri Kelantan, Yang Berusaha Encik Mohamad Rasani bin Ramli, Setiausaha MAIK dan AF. Tuan Haji Muhammad Hana Pizi bin Abdullah, Imam Besar Negeri Kelantan merangkap Pemangku Pengetua Maahad Tahfiz Al-Quran MAIK.

                                        𝑨𝒍-𝑸𝒖𝒓𝒂𝒏 𝑫𝒊𝒉𝒂𝒚𝒂𝒕𝒊, 𝑯𝒖𝒇𝒇𝒂𝒛 𝑫𝒊𝒔𝒂𝒏𝒋𝒖𝒏𝒈𝒊

#MAIK2023

 

 flickr

www.flickr.com

 

 

 


Cetak   Emel

HUBUNGI KAMI

Talian : +609-7481512

Faks: +609-7485512

Emel: maik [at] e-maik [dot] my

Aduan: KLIK DI SINI

BILANGAN PENGUNJUNG

Hari Ini281
Kelmarin3217
Minggu Ini6533
Bulan Ini12599
Jumlah Pengunjung30835771

A- A A+