MAIK BANTU MANGSA GEMPA BUMI DI TURKIYE DAN SYRIA
Derita yang dihadapi penduduk Turkiye dan Utara Syria akibat dilanda gempa bumi baru-baru ini yang mengorbankan puluhan ribu nyawa turut mendapat perhatian Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Menerusi Misi Bantuan International Relief and Humanitarian Outreach (iReach) Malaysia, pihak MAIK telah menyalurkan sumbangan kepada NGO iReach Malaysia untuk membantu penduduk yang memerlukan.
Alhamdulillah sempena Ramadan yang penuh berkat ini, pihak MAIK menerusi iReach telah mengagihkan 1,000 kotak makanan. 500 untuk mangsa gempa bumi di beberapa wilayah di selatan Turkiye dan 500 lagi di Utara Syria.
Meskipun keadaan mereka di sana sangat teruk, namun diharapkan dengan bantuan daripada MAIK yang berada kejauhan ini dapat memberikan sedikit kegembiraan buat mereka meraikan Ramadan.
Semoga Ramadan yang disambut dalam serba kekurangan ini sedikit terubat dengan bantuan daripada para penyumbang yang diwakili pihak MAIK kepada mereka di sana.
Misi Bantuan ireach Malaysia fasa pertama telah disampaikan pada 26 Februari lalu dan edaran bantuan Fasa ke 2 disampaikan pula pada 3 April 2023 iaitu pada 12 Ramadan 1444H.
Ireach (International Relief and Humanitarian Outreach) menerusi Pengarahnya mewakili penerima manfaat bencana gempa bumi di Syria dan Turkiye merakamkan setinggi tinggi ucapan terima kasih kepada MAIK di atas keprihatinan terhadap mereka di sana.
Mereka mendoakan agar semoga amalan kebajikan yang dihulurkan MAIK ini menjadi asbab kepada ganjaran yang berterusan dan peroleh pahala kebajikan yang diberkati dan diterima oleh ALLAH SWT.
Pihak MAIK juga mengucapkan terima kasih kepada kesemua penyumbang. Betapa besarnya pahala para penyumbang yang dapat membantu insan sangat memerlukan bantuan di sana, apatah lagi makanan ini digunakan untuk berbuka di bulan Ramadan ini. ALLAHUAKBAR.