MAIK LANCAR BUKU TATACARA PENGURUSAN KEWANGAN MASJID NEGERI KELANTAN
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah menyiapkan satu lagi garis panduan iaitu tatacara pengurusan kewangan masjid negeri Kelantan.
Sejajar dengan itu, kursus pengurusan kewangan dan integriti dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan khususnya Fakulti Perakaunan telah dilaksanakan untuk beberapa buah jajahan dan akan diteruskan kepada semua wakil jawatankuasa terlibat di semua jajahan.
Prosedur Operasi Standard (SOP) yang disediakan ini adalah untuk memastikan setiap masjid dapat menyediakan penyata kewangan dengan lebih teratur dan menepati prinsip perakaunan serta mengikut kehendak pekeliling kewangan semasa.
Perkara tersebut dimaklumkan Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam bin Tengku Abdul Aziz, Tengku Temenggong Kelantan juga Yang Dipertua MAIK, pada 15 Ogos 2023 sempena Majlis Amanat Tengku Yang Dipertua MAIK Bersama Pegawai Masjid Negeri Kelantan Tahun 2023.
Bersempena majlis itu juga, Yang Berhormat Mulia turut melancarkan Buku Tatacara Pengurusan Kewangan Masjid Negeri Kelantan di Grand Renai Hotel Kota Bharu.
Majlis turut dihadiri Yang Berhormat Sahibus Samahah Dato’ Kaya Perba, Dato’ Haji Mohamad Shukri bin Mohamad, Mufti Kerajaan Negeri Kelantan, Yang Berhormat Dato’ Lela Perkasa Dato’ Haji Che Mohd Rahim bin Haji Jusoh, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan; Yang Berhormat Sahibus Fadhilah Dato’ Haji Nik Abdul Kadir Nik Mohamad, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Kelantan, Yang Amat Arif Tuan Haji Ibrahim Bin Deris, Ketua Hakim Syarie Negeri Kelantan, Yang Amat Berusaha Ketua Penolong Kanan, Pesuruhjaya Tuan Rosli Bin Husin, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Negeri Kelantan, Yang Amat Berusaha Prof Dr Haji Abdol Samad Bin Nawi, Rektor UiTM Cawangan Kelantan dan Yang Amat Berusaha, Haji Zulkifle Bin Ab Rahman, Timbalan Yang Dipertua MAIK.
Dalam masa sama, Yang Berhormat Mulia turut mengharapkan agar pegawai masjid dapat mengamalkan ilmu yang dipelajari dalam memastikan pengurusan kewangan masjid akan lebih berintegriti dan tersusun.
Dalam tatacara berkenaan juga turut menekankan soal integriti, pengisytiharan kepentingan dan kebertanggungjawaban. Semua aset yang dibuat perolehan, mestilah didaftarkan dalam buku rekod, seterusnya diselenggara dengan baik.
Budaya penyelenggaraan atau “maintenance culture” perlu diterapkan agar kita dapat meminimakan kos pembaikian dan mengoptimumkan penggunaan aset yang dibeli.
Yang Berhormat Mulia juga merakamkan penghargaan kepada para pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan, Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kelantan dan para pegawai terlibat kerana membantu pihak MAIK dalam menggubal dan menyediakan Buku Tatacara Pengurusan Kewangan Masjid Negeri Kelantan yang dilancarkan pada hari ini.
Semoga pelancaran buku tatacara ini akan digunakan sebaik mungkin oleh setiap masjid dan seterusnya meningkatkan lagi kualiti pengurusan kewangan masjid.
Ia telah dibangunkan oleh 11 orang Pensyarah Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Kelantan yang diketuai Profesor Madya Dr Marziana Madahmarzuki , Pensyarah Kanan Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Kelantan."
#PenarafanMasjidNegeriKelantan