MAIK TUAN RUMAH MESYUARAT MPZN KE-35 BILANGAN 1/2023
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah diberi kepercayaan oleh agensi mengurus zakat negeri-negeri untuk mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Zakat Negeri-Negeri (MPZN) Ke-35 Bilangan 1/ 2023.
Kesemua 33 wakil terdiri daripada 16 agensi menguruskan zakat seluruh Malaysia termasuk MAIK telah bermesyuarat di Majlis Daerah Dabong pada 15 Julai 2023 lalu.
Pertemuan ini penting untuk silaturrahim antara pegawai dan kakitangan majlis Agama Islam dan pusat pungutan zakat serta agensi mengurus zakat negeri bagi bertukar pandangan dan memanfaatkan peluang bersama untuk bertukar pengalaman ataupun pendekatan terbaik demi membantu asnaf sesuai konteks semasa.
Mesyuarat kali ini dipengerusikan oleh Tuan Haji Ridhwan bin Abdul Rahman selaku Ketua Pegawai Baitulmal MAIK, mewakili Timbalan Yang Dipertua MAIK bermula jam 11.00 pagi dan berakhir jam 1.35 tengah hari.
Para delegasi juga turut mendengar taklimat daripada Dr Basri Ibrahim dari Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam usaha membantu para asnaf.
Mesyuarat kali ini, mempunyai kelainannya yang tersendiri, kerana mereka bukan sahaja bermesyuarat tetapi turut melalui pengalaman yang menarik ketika berada di Kelantan.
Rombongan yang tiba sehari lebih awal di Kota Bharu telah dibawa ke Majlis Daerah Dabong menggunakan kereta api dari Stesen KTM Wakaf Bharu pada jam 7.20 pagi. Perjalanan selama tiga jam juga tidak menjadikan mereka letih kerana setibanya di Stesen KTM Dabong rombongan disambut dengan persembahan silat.
Ketibaan para delegasi disambut Yang Dipertua Majlis Daerah Dabong, En Mohd Hariff bin Ghazali.
Para delegasi juga berkongsi keterujaan dengan pihak MAIK. Mereka bukan sahaja saling bertukar pendapat untuk membantu para asnaf, bahkan dapat menikmati keindahan panorama geo pelancongan di Gua Ikan.
Mereka memuji inisiatif dilaksanakan MAIK yang turut mengetengahkan keindahan Kelantan.
Pihak MAIK merakamkan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat khususnya Majlis Daerah Dabong, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dan Keretapi Tanah Melayu Berhad atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan mesyuarat kali ini.